NASIONAL

KEADILAN timbang ambil tindakan undang-undang

OLEH NAZLI IBRAHIM

PETALING JAYA, 8 FEB: Parti Keadilan Rakyat (KEADILAN) mendesak supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi penjelasan segera berhubung pendedahan satu rakaman audio berhubung tindakan memanipulasi undi dalam pilihan raya.

Timbalan Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Dr Afif Bahardin berkata, KEADILAN juga mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang bagi menghalang penipuan seperti itu terus dilakukan Umno dan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya akan datang.

“KEADILAN melahirkan rasa terkejut dan gusar bila kami sudah dibekalkan dengan satu rakaman audio yang didakwa menampilkan ucapan seorang pemimpin Umno bahagian Permatang Pauh di dalam satu program Pemukiman Jentera Pilihan Raya Umno Cawangan dalam Parlimen Permatang Pauh berlangsung di Politeknik Seberang Perai, pada 28 Januari lalu,” katanyadi Ibu Pejabat KEADILAN, di sini, hari ini.

Sementara itu, Naib Presiden KEADILAN, Nurul Izzah Anwar berkata, KEADILAN mengambil langkah melindungi indentiti pemberi maklumat terbabit.

“Di negara ini, tiada jaminan orang yang mendedahkan penyelewengan akan dilindungi undang-undang seperti yang berlaku kepada Ahli Parlimen Pandan, Rafizi Ramli dan seorang kerani,” katanya.

Nurul Izzah berkata, rakaman itu turut menunjukkan tidak mustahil tindakan manipulasi undi turut berlaku di kawasan pilihan raya lain dengan jumlah undi lebih besar.

Terdahulu, wakil media yang menghadiri sidang media terbabit turut diperdengarkan rakaman audio ucapan seorang pemimpin Umno Bahagian Permatang Pauh yang jelas menyebut perbuatan memanipulasi lebih 800 undi pos atau undi awal anggota polis.


Pengarang :