SUKANKINI

Kejutan pasukan amatur, janji saingan menarik Piala FA

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 15 FEB: Beberapa kejutan dilakar pasukan liga amatur dan sosial dalam pusingan pertama Piala FA 2018, menjanjikan saingan menarik pada pusingan seterusnya.

Perkongsian Liabiliti Terhad Bolasepak Malaysia (FMLLP) dalam kenyataannya berkata, dengan keputusan dicatat, tidak mustahil untuk pasukan dari liga berkenaan mampu melangkah jauh dalam kejohanan itu.

“Kemenangan ini membuktikan pasukan dari liga amatur dapat memberi saingan cukup hebat kepada pasukan liga profesional di negara ini.

“Ia satu perkembangan positif ditunjukkan pasukan dari liga amatur apabila mereka menggunakan peluang sepenuhnya diberikan FMLLP dengan menjadikan Piala FA 2018 sebagai batu loncatan ke arah kemajuan dan lebih berdaya saing.

“Selain hasrat mengembalikan bola sepak kepada rakyat, tujuan langkah ini diambil untuk merapatkan jurang persaingan liga amatur dan profesional supaya lebih banyak bakat baru dapat dicungkil dan diketengahkan sekali gus memberi perkembangan positif kepada bola sepak Malaysia,” katanya.

Pusingan pertama Piala FA 2018 mempertemukan pasukan dari Piala FAM dan Liga Komuniti / Sosial dan beberapa keputusan mengejut berlaku.

Pasukan Liga Sosial, Southern FC mengalahkan Selangor United dari Piala FAM 2 – 1 dan akan bertemu pasukan Liga Super, Melaka dalam pusingan kedua.

Juara Selangor Champions League 2017, Axis-O2 FC juga menempah tempat ke pusingan kedua menentang Kuantan FA dari Liga Perdana, selepas menewaskan SRCC Kuala Kangsar FC 4-1 (pusingan pertama).

Pusingan kedua Piala FA akan berlangsung pada 2 hingga 4 Mac ini.

#Media Selangor
#SelangorKini


Pengarang :