AGAMASELANGOR

Kelas Hafazan satu lagi modul pengajian bersijil Masjid Shah Alam

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 10 FEB: Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah merangka untuk memperkenalkan Kelas Hafazan Al-Quran Dewasa dalam pengajian bersijil sebagai langkah memenuhi kewajipan fardhu kifayah.

Imam Besar Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Muhammad Farhan Wijaya berkata, kelas itu akan menjadi salah satu program pengajian bersijil yang sedang dilaksanakan untuk masa akan datang bagi memperluaskan bidang itu.

Katanya, sehingga kini terdapat empat pengajian yang sedang dilaksanakan pihak masjid antaranya Pengajian Talaqi Al-Quran, Pengajian Taranum, Pengajian Bahasa Arab dan Pengajian Syariah.

“Perkara itu dirancang selepas melihat sambutan yang menggalakkan daripada jemaah pelbagai peringkat usia yang mengikutinya.

“Dalam majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil kali ke-17 ini juga, kita meraikan pelajar yang berjaya menghafal 30 helai Al-Quran bersamaan tiga juzuk dengan mengikuti sistem hafazan dan ulangan daripada tenaga pengajar yang pakar,” katanya,

Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis Konvokesyen Pengajian Bersijil kali ke-17 sesi 2017, di Grand Ballroom, Hotel Concorde, di sini, hari ini.

Farhan berkata, masjid bukan sahaja berfungsi untuk solat dan berzikir tetapi ia dikembangkan melalui pengajian bersijil bagi membangunkan modal insan cemerlang dan berkualiti.

“Kita yakin dengan percaya bahawa pendidikan di masjid dapat menangkis fahaman yang salah dan ekstrim serta memberikan impak besar dalam melahirkan umat berilmu juga bertamadun,” katanya.

Neliau turut melahirkan rasa syukur kepada Kerajaan Negeri apabila pelajarnya kini mendapat manfaat buku pengajian daripada pelbagai peringkat secara percuma di atas pemberian sumbangan kewangan sebanyak setengah juta, tahun lalu.

Selain itu, Farhan turut memaklumkan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah baru sahaja selesai audit MS ISO 9001:2015 dan MS 1900:2014 oleh SIRIM QAS selama dua hari, baru-baru ini.


Pengarang :