SELANGOR

Kempen Bebas Plastik, rakyat lebih bijak

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 20 FEB: Rakyat Selangor tidak mudah terpengaruh dengan sogokan Barisan Nasional (BN) kononnya akan mengkaji semula dasar penggunaan beg plastik sekiranya menang pada pilihan raya umum ke 14 (PRU14).

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong berkata, rakyat kini semakin prihatin terhadap isu alam sekitar dan memahami keperluan untuk mengurangkan penggunaan beg plastik hasil daripada kempen Bebas Plastik.

Katanya, kesan positif pelaksanaan kempen itu boleh dilihat dengan air sungai yang kini lebih bersih.

“Manakala kutipan beg plastik terbuang dalam Sungai Klang juga semakin berkurangan sekaligus menyebabkan pelbagai fauna seperti memerang dan buaya juga muncul.

“Kenyataan Pengerusi Umno, bahawa BN akan mengkaji semula dasar itu menunjukkan bahawa pembangkang negeri sudah ketandusan isu dan idea,” katanya dalam kenyataan.

Elizabeth berkata kempen terbabit selaras dengan prinsip ‘fastabiqul khairat’ (berlumba-lumba melakukan kebaikan) seperti yang diamalkan Dato’ Menteri Besar.

“Selangor merupakan salah satu negeri yang sedang berlumba-lumba untuk mengurangkan penggunaan beg plastik di Malaysia.

“Ia termasuk beberapa negeri yang ditadbir BN seperti Wilayah Persekutuan, Melaka dan Johor,” katanya.

Terdahulu, Tan Sri Noh Omar berkata, dasar yang dilaksanakan Kerajaan Negeri itu hanya menyusahkan rakyat dan menguntungkan sesetengah pihak.


Pengarang :