SELANGOR

Kerajaan Negeri peruntuk RM2.18 juta baiki lif Pangsapuri Golden Villa

OLEH SHEEDA FATHIL

KLANG, 15 FEB : Kerajaan Negeri melalui Skim Ceria memperuntukkan RM2.18 juta untuk membaiki 11 lif membabitkan enam blok di Pangsapuri Golden Villa, di sini.

Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar Selangor, Shuhaimi Shafiei berkata, ia adalah usaha yang dilakukan secara beterusan untuk lebih mengharmonikan lagi kawasan pangsapuri terbabit.

“Berdasarkan tinjauan hari ini, Kerajaan Negeri bersetuju membantu memulihkan kawasan sekitar dengan membaiki beberapa lif bagi memudahkan penduduk di sini.

“Walaupun terdapat beberapa kekurangan namun secara amnya kawasan sekitar sini dan penduduknya kelihatan harmoni,” katanya.

Beliau berkata ketika membuat lawatan turun padang ke Pangsapuri Golden Villa, di sini, hari ini.

Sementara itu, Pengarah Eksekutif Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor, Norzaton Aini Mohd Kassim berkata, kerja baik pulih kesemua lif berkenaan dijangka siap sepenuhnya pada April tahun hadapan.

“Kerja baik pulih ini akan dilakukan secara berperingkat supaya penduduk di sini tidak terputus untuk naik turun menggunakan lif.

“Kerajaan Negeri melantik Selangor Industrial Corporation (SIC) iaitu anak syarikat Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) untuk menguruskan pembaikan lif ini,” katanya.

Beliau berkata, kerja baik pulih itu membabitkan 90 peratus alatan akan ditukar yang diimport khas dari luar negara.

=EZY=


Pengarang :