SELANGOR

Kerajaan Negeri sumbang RM550,000 kepada surau dan masjid di Ukay Perdana

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUKIT ANTARABANGSA, 9 FEB: Kerajaan Negeri melalui Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI) menghulurkan sumbangan bernilai RM550,000 kepada 11 surau dan masjid, di Ukay Perdana.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, sumbangan itu digunakan untuk membiayai kerja baik pulih surau dan masjid terbabit.

“Kerajaan Negeri bukan sahaja memastikan pertumbuhan ekonomi dan kewangan kita berkembang tetapi bertanggungjawab mengimbanginya dengan pembangunan kerohanian,” katanya.

Beliau yang juga Ahli Dewan Negeri Bukit Antarabangsa itu berkata demikian pada Majlis Penyampaian Bantuan Kepada Surau Dan Masjid Serta Solat Jumaat, di Masjid Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Beliau berkata, pembangunan tanpa disertakan pembangunan kerohanian akan menyebabkan pembangunan sesebuah negara atau negeri menjadi tempang.

Katanya, Kerajaan Negeri turut menumpukan pembangunan membabitkan institusi pendidikan seperti sekolah agama di Bukit Antarabangsa selain sumbangan untuk masjid dan surau.

Sementara itu, dalam lawatan kerja sama, Mohamed Azmin turut diberi taklimat berhubung pembangunan prasarana lain seperti jejantas, jalan raya dan lebuhraya East Klang Valley Exspressway (EKVE).


Pengarang :