PBTSELANGOR

Kerjasama penjawat awam dan pentadbir politik pemangkin kemajuan Selangor

OLEH HAFIZAN TAIB

BATU CAVES, 10 FEB: Hasil kerjasama profesional penjawat awam dan pentadbir politik menjadi pemangkin terhadap kemajuan berterusan Selangor.

Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari berkata, kerjasama terbabit menghasilkan kualiti kerja membanggakan dengan pengiktirafan pelbagai pihak termasuk Kementerian Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).

“Dengan kerjasama erat selama ini, kita mampu menguruskan pentadbiran Kerajaan Negeri serta pengurusan majlis tempatan bermula daripada Jawatankuasa Kemajuan Kampung sehingga Pihak Berkuasa Tempatan (PBT).

“Sudah pasti pentadbiran ini sejak 2008 dan terutama dalam tiga ke empat tahun ini, kita menitikberatkan perkongsian juga kerjasama profesional antara penjawat awam dan pentadbir politik di Selangor yang dipilih melalui pilihan raya,” katanya dalam Majlis Makan Malam Sedekad Bersama Menabur Bakti, di sini, semalam.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Batu Caves itu berkata, gandingan kerjasama terbabit menghasilkan pelbagai kejayaan serta pencapaian ekonomi mampan dengan Selangor kekal sebagai penyumbang terbesar Keluaran Dalam Negara Kasar (KDN) iaitu kira-kira 23 peratus.

Katanya, pada peringkat Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Batu Caves juga mencatat pencapaian terbaik antaranya Pejabat Daerah dan Tanah Gombak memperoleh kutipan hasil lebih daripada 100 peratus dengan mendapat penghargaan atas pencapaian itu.

“Selain itu, Majlis Perbandaran Selayang (MPS) termasuk dalam senarai 10 daripada 12 PBT di Selangor yang mendapat penarafan lima bintang oleh KPKT.

“Kita sentiasa berusaha memperbaiki pencapaian dari semasa ke semasa dan inilah hasrat reformasi digariskan Kerajaan Negeri,” katanya.

Hadir sama, ADN Gombak Setia, Hasbullah Mohd Ridzwan dan Yang Dipertua MPS, Suliman Abd Rahman.

 


Pengarang :