SELANGOR

Kesedaran pembayar zakat membanggakan

OLEH SHEEDA FATHIL

PUCHONG, 23 FEB: Kesedaran pembayar zakat di negeri ini amat membanggakan apabila Lembaga Zakat Selangor (LZS) menerima zakat daripada pembayar baharu setiap tahun.

Ketua Divisyen Operasi Agihannya, Abdul Basith Hamid berkata, LZS mensasarkan kutipan RM730 juta pada 2017, namun berjaya mengutip lebih daripada nilai itu.

“Ia dapat membuktikan bahawa kesedaran umat Islam di negeri ini untuk mengeluarkan zakat kepada institusi yang sah semakin meningkat,” katanya.

Abdul Basith berkata, jika pengeluaran zakat bukan dari intitusi sah dikhuatiri pada masa akan datang disalurkan ke saluran yang kurang tepat.

“Saya harap seluruh umat Islam berwaspada apabila membayar zakat dan semoga pembayaran dilakukan di institusi tepat,”katanya.

Pada masa sama, Abdul Basith berkata, sasaran golongan asnaf fakir dan miskin yang berdaftar tahun ini bakal mencecah 60,000.

“Sasaran untuk mengurangkan golongan itu tiada, namun bagi menjayakan mereka adalah tugas LZS.

“Kita cuba sedaya upaya membantu golongan ini keluar dari kepompong kemiskinan dan bakal menjadi pembayar zakat pula pada masa akan datang,” katanya.


Pengarang :