GLOBAL

KFC di Britain tak cukup ayam, DHL gagal hantar bekalan cukup

LONDON 20 FEB: Rangkaian restoran makanan segera Amerika Syarikat memaklumkan ratusan cawangannya di Britain terpaksa ditutup selepas pembekalnya, DHL dari Jerman gagal menghantar bekalan secukupnya.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan KFC berkata, lebih 700 daripada jumlah 900 cawangannya di seluruh Britain terpaksa ditutup, sejak hujung minggu sementara ada rangkaian hanya menawarkan menu terhad atau waktu operasi lebih singkat.

“Kami sudah mendapatkan rakan pembekal baharu, namun mereka ada beberapa masalah. Usaha menghantar ayam segar ke 900 restoran di seluruh negara ini agak kompleks.

“Kami tidak berkompromi dalam kualiti, justeru masalah penghantaran menyebabkan sejumlah restoran KFC ditutup dan ada yang beroperasi dengan menu terhad atau hanya dibuka untuk waktu singkat,” kata satu kenyataan KFC.

“Kami memahami ia menyebabkan masalah dan mengecewakan pelanggan yang mahukan ayam goreng sejak beberapa hari lalu. Kami memohon maaf.”

Dalam pada itu, DHL dalam satu kenyataan berasingan berkata pihak mereka sedang bekerja mengatasi masalah itu.

SUMBER: AFP

 


Pengarang :