NASIONALPENDIDIKAN

Kolej Universiti Insaniah kini dikenali UniSHAMS

PUTRAJAYA, 9 FEB: Kolej Universiti Insaniah (KUIN) Kedah kini secara rasmi bertukar status sebagai Universiti Islam Antarabangsa Sultan Abdul Halim Mua’dzam Shah (UniSHAMS) selepas menerima Perakuan Pendaftaran daripada Kementerian Pendidikan Tinggi, semalam.

Perakuan Pendaftaran itu juga sudah diserahkan Ketua Pengarah Pendidikan Tinggi, Datin Ir Dr Siti Hamisah Tapsir kepada Rektor UniSHAMS, Prof Datuk Dr Mohd Fakhrudin Abdul Mukti pada satu majlis, di sini, kelmarin, lapor Berita Harian.

Majlis itu turut disaksikan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Seri Idris Jusoh dan Menteri Besar Kedah, Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah merangkap Pengerusi Lembaga Pengarah UniSHAMS.

Pada masa sama, Idris berkata, antara syarat penukaran status bagi sesebuah institusi pengajian tinggi (IPT) kepada universiti penuh adalah perlu mencukupi daripada segi bilangan pensyarah berkelulusan doktor falsafah (PhD), mempunyai modal berbayar RM20 juta, program ditawarkan mendapat akreditasi selain menjalankan kajian pendidikan.

“Justeru, perkara ini bukan suatu yang mudah, malahan ada IPT memohon untuk mendapat status universiti penuh tetapi tidak berjaya kerana gagal memenuhi syarat ditetapkan kementerian.

“Kementerian Pendidikan Tinggi tidak akan berkompromi walaupun kita mesra dengan mereka kerana perlu memastikan semua syarat dipenuhi pihak IPT yang berkenaan dalam menjadikan sistem pendidikan negara terus berkualiti,” katanya pada sidang media selepas majlis itu.


Pengarang :