SELANGOR

Komited pastikan kesihatan rakyat berkualiti

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 26 FEB: Kerajaan Negeri akan terus komited untuk meningkatkan akses kepada penjagaan kesihatan asas yang berkualiti untuk rakyatnya, kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Beliau berkata, Kerajaan Negeri memperkenalkan Skim Peduli Sihat bagi menangani masalah penyakit tidak berjangkit atau Non-Communicable Diseases (NCDs) selepas bermula dengan Program Dialisis dan Pemeriksaan Mammogram.

Katanya,program berkenaan mendapat pengiktirafan daripada Persatuan Perubatan Malaysia dan disambut dengan gemuruh dalam kalangan rakyat menerusi pelbagai inisiatif itu.

“Sehingga 20 Februari lalu, lebih 300,000 keluarga atau 1.2 juta rakyat berjaya menerima manfaat daripada pelaksanaan Skim Peduli Sihat.

“Jumlah ini melepasi sasaran awal iaitu 250,000 keluarga atau sejuta orang,” katanya di Majlis Pelancaran Skim Rawatan Jantung, di Institut Jantung Negara (IJN), di sini, hari ini.

Mohamed Azmin memaklumkan, Kerajaan Negeri akan turut memberi fokus kepada Skim Penjagaan Kesihatan Bersepadu yang diperluaskan dengan pelaksanaan Skim Rawatan Jantung Selangor, suntikan vaksin termasuk pneumokokal, penjagaan kesihatan mental, perkhidmatan penjagaan paliatif bagi pesakit kanser serta insuran kesihatan untuk penjawat awam dan pesawah.

“Pengbabitan Kerajaan Negeri dalam sektor kesihatan adalah berdasarkan keyakinan bahawa kesihatan adalah satu aspek penting dalam kesejahteraan manusia.

“Seperti yang diungkapkan oleh Publius Syrus, ‘good health and good sense are two of life’s greatest blessings’,” katanya.

Beliau berkata, usaha itu adalah bagi memastikan kesihatan warga Selangor terus dipertingkatkan dari semasa ke semasa.

“Rakyat aset terpenting kepada negeri. Kita yakin, peningkatan kesihatan rakyat akan menjamin peningkatan produktiviti dan Selangor akan kekal menjadi negeri termaju di Malaysia menuju sebuah negeri pintar serta berteknologi tinggi, di rantau ini,” katanya.


Pengarang :