NASIONAL

Kren terbalik akibat permukaan tanah tak stabil

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 26 FEB: Projek Lintasan Sungai Besi-Ulu Klang Sdn Bhd (ProLintas) hari ini mengesahkan kejadian kren terbalik di kilometer 25.2 berhampiran Dataran Ukay, pada jam 10 pagi tadi.

ProLintas dalam kenyataan berkata, ia berlaku ekoran permukaan tanah yang menempatkan jentera berkenaan tidak stabil, namun tiada kecederaan dan kerosakan harta awam dilaporkan.

“Pasukan kecemasan dikerahkan ke kawasan kejadian untuk memberi bantuan dan kerja pembersihan juga kini giat dijalankan bagi menyuraikan kesesakan trafik dengan kadar segera.

“Justeru itu, ProLintas memohon maaf di atas sebarang kesulitan yang timbul ekoran kejadian ini,” katanya.

Syarikat itu turut memberi jaminan bahawa keselamatan serta keselesaan orang awam dan penduduk di sekitar kawasan pembinaan Lebuhraya SUKE adalah menjadi keutamaan mereka.

Orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat dan aduan berhubung pembinaan Lebuhraya SUKE boleh menyalurkannya kepada Facebook PROLINTAS Highways, Twitter @mySUKEofficial atau di talian 1300-88-9922.


Pengarang :