KENYATAAN MEDIA

Kritikan terhadap Mahkamah Syariah bertentang semangat Perlembagaan Persekutuan

OLEH MUHAMMAD FAISAL ABDUL AZIZ

Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) memandang berat kritikan yang diluahkan Surendra Ananth, salah seorang ahli Majlis Peguam (Bar Council) yang dilihat seakan-akan menafikan hak serta peranan Mahkamah Syariah di sisi Perlembagaan Persekutuan.

Kenyataan beliau ini dirujuk daripada sebuah laman web portal berita (The Malaysian Insight) yang antara lain mengkritik cadangan Sahibus Samahah Mufti Perak yang mahu Mahkamah Syariah ditubuhkan berdasarkan kepada undang-undang tubuh negeri.

Walaupun keputusan Mahkamah Persekutuan dalam kes Indira Ghandi vs Ridhzuan Abdullah perlu dihormati daripada perspektif perundangan dan keadilan, namun peruntukan 121 (1A) juga perlu dihormati kerana ia adalah sebahagian daripada peruntukan dalam Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang kritikan melulu terhadap mahkamah syariah seharusnya juga ditanggapi sebagai kritikan terhadap Perlembagaan Persekutuan itu sendiri.

Ini kerana Mahkamah Syariah adalah institusi yang secara jelas dipertahankan dan diiktiraf oleh Perlembagaan Persekutuan sendiri malah dilindungi oleh Majlis Raja-Raja Melayu.

Maka, seharusnya setiap pandangan terhadap Mahkamah dan Perundangan Syariah boleh dibuat tanpa merendah-rendahkan kedudukan apatah lagi menafikan samasekali peranan badan-badan berkenaan.

ABIM menilai keputusan membabitkan hak jagaan anak-anak Indira Ghandi dan Mohd Redzuan Abdullah telah menimbulkan pelbagai bentuk perdebatan yang meluas dalam kalangan masyarakat.

Perbincangan secara inklusif dan harmoni berhubung isu-isu berkaitan dengan perundangan sivil dan syariah perlu dimatangkan tanpa dibayangi emosi keagamaan dan politik yang keterlaluan.

Keputusan ditetapkan Mahkamah Persekutuan pada 30 Januari lalu seharusnya menjadi anjakan ke arah mengemaskini prosedur serta tatacara perlaksanaan badan-badan perundangan syariah di negara ini.

Proses ini meliputi keterbukaan membicarakan kes-kes yang menyentuh kepentingan masyarakat bukan Islam, mengemaskini prosedur penentuan hak jagaan anak sekiranya kes seperti Indira Ghandi vs Ridzuan Abdullah serta Izwan Abdullah vs Deepak berulang lagi pada masa-masa akan datang.

Dengan sempurnanya proses ini pada masa akan datang, kedudukan dan peranan mahkamah syariah sepertimana yang ditetapkan dalam artikel 121 (1A) dapat diperkukuhkan selari dengan keistimewaan serta ruang telah ditetapkan pada Perlembagaan Persekutuan.

* Muhammad Faisal Abdul Aziz adalah Setiausaha Agung ABIM


Pengarang :