Firefly at Kuala Selangor
PELANCONGANSELANGOR

Kuala Selangor, model projek ESC kelip-kelip Asia Tenggara

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KUALA SELANGOR, 14 FEB : Destinasi pelancongan Kelip-Kelip Kampung Kuantan dipilih sebagai model projek pembangunan Asean Environmental Sustainable Cities (ESC).

Setiausaha Majlis Daerah Kuala Selangor (MDKS), Azman Dahlan berkata, pemilihannya bakal menyaksikan destinasi itu kekal sebagai pusat pemeliharaan habitat kelip-kelip terpenting di rantau ini.

“Perancangan projek ini akan menjadikan destinasi ini terus kekal terpelihara sebagai salah satu tumpuan habitat kelip-kelip terkemuka di Selangor khususnya.

“Pewartaan projek ini sudah dimasukkan dalam Pelan Rancangan Tempatan (MDKS) sejak 2015 lalu dan ia sudah memasuki tahun ketiga pelaksanaannya.

“Bagaimanapun, untuk tempoh tahun ketiga ini kita mendapat penajaan sekitar RM88,000 dari institut luar negara iaitu Jepun,” katanya kepada SelangorKini.

Difahamkan, projek berkenaan meliputi empat fasa perancangan dengan dua daripadanya sudah mula dilaksanakan bermula Julai hingga Disember 2017 lalu.

Ia melibatkan kerjasama inisiatif pembangunan mampan yang di bawah penyelerasan Institutes For Global Environmental Strategies (IGES) yang berpangkalan di Bangkok, Thailan dan PLAN Malaysia sebagai National Focal Point (FNP) di Malaysia.

Terdahulu, wakil agensi itu turun padang meninjau prospek pembangunan projek berkenaan bagi melihat sendiri perkembangan program pemuliharaan habitat kelip-kelip di kawasan itu.

Sementara itu, MDKS sebelum ini turut mengadakan lawatan kerja ke Bangkok, Thailand bagi mendapatkan perkongsian sebenar pelaksanaan program terbabit pada 14-16 Disember lalu.

=EZY=


Pengarang :