SUKANKINI

La Liga: Barca-Real Madrid menang selesa di laman sendiri

OLEH AFIX REDZUAN

MADRID, 25 FEB: Barcelona dan Real Madrid mencatatkan kemenangan besar menewaskan lawan masing-masing dalam siri La Liga awal pagi tadi.

Pendahulu liga, Barcelona membelasah Girona 6-1 dengan Luis Suarez mencatatkan hatrik di Nou Camp.

Suarez meledak hatrik pada minit kelima, 44 dan 76 sementara Lionel Messi menjaringkan dua gol diikuti Philippe Coutinho.

Gol tunggal Girona dijaringkan Cristian Portu pada minit ketiga.

Sementara Cristiano Ronaldo meledak dua gol bagi membantu Real Madrid menewaskan Alaves 4-0 di Santiago Bernabeu.

Ronaldo meletakkan Real Madrid di hadapan pada penghujung babak pertama diikuti gol Gareth Bale di awal babak kedua.

Pemain Portugal itu menambah jaringan peribadi pada minit ke-61 selepas menyempurnakan hantaran Lucas Vazquez.

Real Madrid memperoleh sepakan penalti di penghujung permainan dan Ronaldo memberikan peluang kepada Karim Benzema mencatatkan nama sebagai penjaring selepas menyempurnakannya bagi keputusan akhir 4-0.

Barcelona terus berada di puncak liga dengan 65 mata sementara Real Madrid ketiga dengan 51 mata selepas 25 perlawanan.

Kredit Foto: Reuters & Dailymail.co.uk


Pengarang :