NASIONAL

Lagi janji ‘dicapati’, BN kompromi kualiti ubat untuk rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

SHAH ALAM, 5 FEB: Rakyat dinasihatkan supaya tidak lagi percaya dengan janji-janji manis yang ditaburkan Umno-Barisan Nasional (BN) pada kempen Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) nanti.

Ahli Parlimen Bukit Katil, Shamsul Iskandar Mohd Akin berkata, rakyat perlu sedar bahawa banyak janji ditaburkan pada PRU-13 lalu gagal ditunaikan termasuk sektor yang melibatkan kepentingan rakyat seperti kesihatan dan pengangkutan awam.

“Antara yang penting ialah kesihatan di mana Umno-BN berjanji membangunkan sistem nasional yang akan menyediakan akses penjagaan kesihatan berkualiti kepada semua rakyat.

“Ia hanyalah janji manis apabila kita melihat peruntukan kesihatan dipotong dengan teruk akibat masalah ekonomi dan kita mendapat aduan kualiti ubat juga dikompromi,” katanya ketika dihubungi SelangorKini di sini, hari ini.

Jelasnya, Umno-BN juga berjanji meningkatkan kecekapan pengangkutan awam termasuk meningkatkan jumlah permit teksi individu.

Bagaimanpun, sebaliknya nasib pemandu teksi semakin dianaktirikan apabila perkhidmatan Grab dan Uber semakin berkembang sejak kebelakangan ini.

Selain itu, Umno-BN juga tidak mengambil sebarang usaha untuk menurunkan harga kereta seperti dalam manifesto PRU-13 lalu.


Pengarang :