SASTERA

Larian Zombi

Oleh Syafiq Ghazali

DI BUCU katilnya, sedang dia memikirkan sesuatu berkaitan kemaslahatan bangsanya, Subrik  terdengar jeritan dari jendela. Dia mendekatinya dan melihat di lorong bawah sana seorang lelaki berlari ketakutan. Di belakangnya seorang Zombi menyeret kaki, mengejarnya lambat-lambat. Lelaki itu tergelincir dan ketakutan mematikan kudratnya untuk bangkit semula.

Zombi itu merapat dan menjangkau kedua-dua tangannya. Lelaki itu menepis dan menendang perut Zombi. Dia jatuh terduduk sementara lelaki itu mengambil kesempatan untuk berdiri semula dan berlari. Zombi itu, dengan bersusah-payah, bangkit kembali.

Sibruk fikir dia patut membantu. Dia bergegas keluar dari biliknya, menuruni anak tangga cepat-cepat, dan sebaik keluar dari rumahnya, terus berlari mendapatkan Zombi dan lelaki itu.

Lariannya kencang, melintasi Zombi dan hampir merapati lelaki itu. Merasa kehadiran sesuatu, lelaki itu berpaling. Dia pandang Sibruk. Matanya terbeliak dan wajahnya sungguh-sungguh takut. Dia menjerit, nyaring sekali. Sibruk tidak buang masa: dia menerkam lelaki itu, dan sebaik dia terjatuh, terus saja membaham dadanya. Lelaki itu berteriak untuk penghabisannya.

Setelah memastikan lelaki itu tidak lagi bernyawa, Sibruk berdiri dan memberi isyarat mata kepada Zombi yang kaku di sebelahnya. Zombi itu, perlahan-lahan, membongkok dan mula meratah setiap inci tubuh lelaki itu, sedang Sibruk sekadar memerhati sambil mengesat kesan darah di pipi dan menguis keluar sisa daging dan kulit yang melekat di baris gigi buruknya.

Setengah jam kemudian, Zombi itu berlalu pergi, menyeret kakinya lambat-lambat tanpa mempedulikan Sibruk. Yang tinggal di permukaan asfalt hanyalah rangka tulang merah, ketul-ketul kecil daging, dan segumpal otak yang masih sempurna sifatnya.

Sibruk mengangkat gumpalan otak itu, mengutilnya sedikit lalu mencecapnya. Kepahitannya mengingatkan Sibruk pada waktu lalu, waktu dirinya masih seorang Zombi yang tak memiliki akal nurani.  Ketika itu, dia cuma Zombi kurus yang langsung tak ada upaya untuk bersaing dengan kawanan Zombi lain. Dalam perebutan tubuh manusia, dia selalu kalah. Yang tinggal untuknya hanyalah otak, bahagian yang selalu dielakkan Zombi lain kerana rasanya yang terlalu pahit. Hendak tak hendak, itulah makanannya.

Tak disangkanya otak-otak yang diratah itu perlahan-lahan memberi akal fikiran kepadanya, hingga dia menjadi seorang Zombi yang sedar akan kewujudan dirinya sendiri.

#

“Jadi, hanya kita bertiga?”

Lugosi dan Nzambi sekadar menukar renungan antara satu sama lain.

“Walau apa pun, kita perlu pastikan Larian ini berjaya,” kata Lugosi, merasa sedikit otak yang dibawa Sibruk. “Hidup mati bangsa kita bergantung padanya.”

Sibruk angguk. “Manusia semakin pantas tapi kita masih tetap perlahan. Lambat laun kita tak akan dapat kejar mereka.“

“Kalaulah bangsa kita suka makan otak,” balas Nzambi. “Tak perlu kita susah-susah wujudkan Larian ni.”

“Mungkin… mungkin kita boleh pujuk mereka sekali lagi.” Kata Lugosi. “Kita terangkan kelebihan-kelebihan otak kepada mereka, dengan lebih terperinci.”

Sibruk menunduk, kemudian mendongak semula. “Kita dah cuba—dan gagal. Sekarang kita perlu beralih kepada kaedah yang lebih radikal tapi halus. Jika kita tak boleh jadikan mereka lebih bijak, sekurang-kurangnya kita boleh buat mereka jadi lebih cepat. Dengan persiapan yang kita buat, Larian ini pasti berjaya. Di akhir garisan nanti, bangsa kita tak akan lagi berjalan. Kita akan berlari!”

#

“Dunia sedang menuju era baru, era yang akan meninggalkan mereka yang masih berjalan. Kini era larian! Dan larian adalah apa yang akan kita lakukan hari ini. Ayuh! Jadikan Larian ini tapak untuk kita bina masa depan secerah matahari tengah hari. Perubahan satu kemestian dan yang diperlukan hanyalah satu lompatan saujana.“ Subrik berhenti. Dia hairan bagaimana ucapannya boleh sebunga itu. Mungkin kerana efek memakan otak seorang penulis dua hari lepas, fikirnya.

“Tiada apa yang perlu ditakutkan,” sambungnya. “Yang tidak pandai berlari, aku akan ajar. Lihat nanti bagaimana kaki aku melangkah. Ia susah tapi tak mustahil. Ayuh, ikut aku berlari. Peluh yang menitik sepanjang langkauan kita akan terlunas dengan manis wangi tubuh manusia, ketar takut mata mereka. Masa bukanlah kekasih yang setia, jadi ayuh berlari!”

Ucapannya ditelan riuh kecur liur peserta Zombi di bawah yang sedang asyik merenung sekumpulan manusia yang terkurung dalam sebuah sangkar besi di atas trek balapan. Tapi Sibruk tak begitu kisah. Mesejnya sudah disampaikan, itu yang penting.

Sibruk mencermati bilangan peserta: tidaklah ramai tapi tidak juga mengecewakan. Dia perlu berterima kasih kepada Lugosi dan Nzambi yang berjaya mengumpan para Zombi itu datang ke stadium terbiar ini. Ia bukan kerja mudah dan mereka berjaya lakukannya.

Sibruk turun dari pentas lantas memberi isyarat kepada Lugosi. Lugosi membuka kurungan dan kumpulan manusia itu mula bertempiaran lari. Mereka boleh lari sekuat hati namun hanya satu arah yang boleh mereka tuju—ke depan. Kerana trek itu sudah pun dipagar dengan papan di kiri dan kanannya.

Melihat manusia berlarian, para Zombi mula mengejar. Sibruk pun, diikuti Lugosi dan Nzambi. Dia berlari semahunya. Setiap manusia yang dilintasinya segera diterkam. Tapi Sibruk tidak meratahnya. Sebaliknya dia terus mengejar manusia yang lain. Kejar dan terkam dan kemudian kejar lagi.

Dialah Zombi pertama yang tiba di garisan akhir. Kemudian Lugosi dan Nzambi. Sibruk menanti Zombi yang lain namun yang tiba hanyalah empat lima orang. Selebihnya masih lagi di belakang, tidak berganjak, sedang meratah mayat-mayat manusia yang dibunuh Sibruk dan mereka yang telah tiba di garisan akhir itu.

Hingga ke petang hari, bilangan Zombi di hujung garisan itu langsung tidak bertambah. Zombi-zombi lain, sesudah kenyang menjamu diri, terus menyeret kaki mendapatkan pintu keluar.

Sibruk, Lugosi, dan Nzambi berpandangan sesama sendiri. Seorang dari mereka melepaskan keluhan. Sibruk kecewa. Apa yang dirancang mereka ternyata telah gagal.

#

Dari jendela pejabatnya, Sibruk lihat sayup di bawah sana seorang Zombi berjalan lambat-lambat menuju ke pintu masuk bangunannya. Tangan kanannya menyeret seekor kambing yang separuh nyawa. Dari wajahnya, jelas Zombi itu sudah beberapa hari tidak makan.

Sibruk tersengih. Dia tahu nanti kambing itu akan diserahkan kepada pekerjanya untuk ditukar dengan daging manusia, dan Zombi itu pasti tidak puas hati melihat saiznya yang kecil. Namun sia-sia dia mengeluh, fikir Sibruk, silapnya sendiri menjadi Zombi yang tidak tahu berlari.

Sibruk beralih dari jendela dan mendapatkan lif. Dia perlu turun ke bawah untuk memberi motivasi kepada pelari Zombinya. Beberapa hari lalu Nzambi beritahu ada beberapa pelari yang mengeluh larian manusia semakin hari semakin deras. Dan selepas itu dia akan ke bahagian pemotongan untuk memantau proses memotong daging-daging binatang ternakan yang diterima, sebelum dipek dan dihantar ke pasar raya—untuk dijual kepada manusia.

Hari yang rutin namun produktif buat Sibruk.


Pengarang :