BERITA UTAMASELANGOR

Lawatan kerja MB sarat penyelesaian isu rakyat

OLEH NAZLI IBRAHIM

GOMBAK, 10 FEB: Lawatan kerja sehari Dato’Menteri Besar Selangor, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali ke Parlimen Gombak dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Antarabangsa mendapat sambutan luar bisa masyarakat, di daerah itu.

Mohamed Azmin berkata, amalan turun ke padang bersama pegawai tinggi kerajaan sudah menjadi satu tradisi pentadbiran Kerajaan Negeri.

“Sudah menjadi tradisi bagi pegawai tinggi Kerajaan Selangor, mereka tidak duduk dalam bilik berhawa dingin sahaja tetapi turun sendiri mendengar masalah rakyat untuk dibawa ke Shah Alam untuk kami bincangkan dan selesaikan,” katanya.

Lawatan kerja sebelah petang itu dimulakan dengan majlis penyampaian bantuan kewangan kepada masjid dan surau serta solat Jumaat, di Masjid Ukay Perdana.

Dalam program yang dihadiri hampir 1,000 masyarakat Islam Ukay Perdana, Mohamed Azmin turut diberikan taklimat berhubung penyelesaian isu kesesakan trafik dan projek East Klang Valley Exspressway.

Mohamed Azmin kemudiannya meluangkan masa meninjau tapak baru tanah perkuburan Islam seluas 50 ekar yang berjaya diwartakan Kerajaan Negeri.

Selain menyampaikan sumbangan kewangan kepada golongan asnaf, Mohamed Azmin turut melawat rumah golongan kurang bernasib baik di Keramat sebelum menghadiri program Penyampaian Sumbangan Asnaf dan solat Asar di Surau Al-Islah AU2.

Lawatan kerja beliau diakhiri dengan Majlis Penyampaian Kad Program Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) dan Jamuan Teh Bersama Penduduk di Pangsapuri Keramat Pangsa, Taman Keramat dan melawat kebun komuniti yang terletak berhampiran tapak program.

Dalam lawatan kerjanya itu, Mohamed Azmin menyampaikan pelbagai sumbangan daripada Pemerbadanan Menteri Besar Selangor dan pembiayaan perniagaan kepada golongan memerlukan.

Antara penerima termasuk 11 surau dan masjid di Ukay Perdana yang membabitkan sumbangan bernilai RM550,000 di Masjid Ukay Perdana, 120 peniaga kecil di Hulu Kelang menerima pembiayaan Skim Hijrah bernilai RM761,000 dan sumbangan kewangan RM500 kepada 100 keluarga asnaf, di Surau Al Islah.

Selain itu, Mohamed Azmin turut menyampaikan sumbangan komputer riba dan kewangan berjumlah RM1,000 setiap seorang untuk perubatan, pendidikan serta sara hidup kepada kira-kira 50 penerima, di Pangsapuri Keramat Pangsa.


Pengarang :