SELANGOR

LBR: Klang yakin ke peringkat Kebangsaan

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 17 FEB: Pasukan bola sepak Klang yakin mara ke pusingan seterusnya pada kempen Liga Bola Sepak Rakyat (LBR) yang kini memasuki saingan peringkat kebangsaan.

Pengendalinya, Hairil Zamri A Rashid berkata, meskipun pusingan kedua akan bertambah sengit namun baki permainan dimanfaatkan sebaik mungkin.

Katanya, pasukannya itu bakal berdepan tiga lagi perlawanan untuk ke slot seterusnya.

“Saya percaya sekiranya pemain meneruskan prestasi konsisten, saya cukup yakin Klang boleh pergi jauh.

“Saya memantapkan lagi di barisan serangan dalam usaha memburu jaringan,” katanya selepas program tajaan 99 Speedmart yang menaja pasukan Klang bagi mengharungi pusingan peringkat kebangsaan, baru-baru ini.

Hairil bagaimanapun berpuas hati aksi disajikan pemain pasukannya terdahulu.

“Seluruh pemain berjanji komitmen 100 peratus atas padang dan kami mahu bangkit pada aksi akan datang.

“Dengan kondisi pasukan yang kian meningkat prestasinya di mana tahap kecergasan pemain berada dalam keadaan terbaik.

“Sesi latihan kita juga memperlihatkan ketajaman barisan serangan menyudahkan gerakan dengan jaringan gol,” katanya.

Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada Yang Dipertua Majlis Perbandaran Klang (MPK), Dato’ Mohamad Yasid Bidin dan Setiausaha MPK, Adi Faizal Ahmad Tarmizi yang menunjukkan sokongan tidak henti sekali gus menambah lagi keyakinan pasukan.

Pada aksi terakhir pusingan pertama Kumpulan A, Klang seri 1-1 ketika menentang Port Dickson di Padang Merdeka, minggu lalu.


Pengarang :