PBTSELANGOR

Lebar Projek Karung Kitar Semula, MBPJ mahu usahasama IPR

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) bercadang mendapatkan usahasama di bawah Inisiatif Peduli Rakyat Kerajaan Negeri Selangor bagi menyokong produk dari Pusat Aktivti Penjanaan Pendapatan Komuniti Bandar (PPKB) untuk kegunaan Program Kerajaan Negeri.

Datuk Bandarnya, Dato’ Mohd Azizi Mohd Zain berkata, hal itu kerana usaha dilaksanakan pihaknya itu mendapat sambutan menggalakkan sekaligus membantu penduduk setempat menjana ekonomi positif.

Katanya, Projek Karung Kitar khususnya mendapat pengiktirafan paten inovasi oleh Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MYIPO).

Lebih menarik, Projek Karung Kitar turut muncul Johan Kategori Inovasi Sosial (Penciptaan) dan Projek Hibrid Terbaik di Majlis Persada Inovasi Perkhidmatan Awam Peringkat Negeri Selangor 2017.

“MBPJ juga berhasrat menambah PPKB di dua lokasi antaranya di Flat PKNS PJS 2C/14 dan PPR Kota Damansara, Petaling Jaya.

“Selain itu, MBPJ juga akan mengadakan kerjasama strategik antara PBT untuk menyediakan bekalan kain rentang atau gegantung untuk produk kitar semula selain cuba memasuki pasaran di pusat beli belah, dobi, agensi kerajaan dan swasta,” katanya pada perasmian pusat PPKB yang kedua di Taman Medan, baru-baru ini.

Mohd Azizi berkata MBPJ bercadang untuk mengambil tempahan produk secara online (atas talian) serta mempelbagaikan lagi produk-produk daripada kain rentang dan gegantung.

“Justeru, kita berharap lebih banyak agensi dapat menyumbang kain rentang dan gegantung yang terpakai,” katanya.

Mana-mana pihak yang ingin menyumbang boleh menghubungi pegawai Jabatan Pembangunan Kemasyarakatan MBPJ, Khairani Ab. Jabar (012-3387785) atau Reduan Mohd Musa (012-4499904) di talian 03-79560203.

Sekiranya terdapat individu di luar sana berminat untuk membeli produk PPKB boleh layari facebook https://www.facebook.com/KarungKitar-183143938950910/ dan Instagram @karungkitar. Pembayaran boleh dilakukan melalui sistem epay@mbpj di laman web rasmi www.mbpj.gov.my.

=EZY=


Pengarang :