SUKANKINI

Liga Super: PKNS FC raih tiga mata, atasi Perak

OLEH HAFIZAN TAIB

LUMUT 11 FEB: Dua gol jaringan Rafael Ramazotti memastikan PKNS FC pulang dengan tiga mata apabila mengatasi Perak 2 – 0 dalam aksi Liga Super, malam tadi.

Dalam perlawanan di Stadium Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) Lumut di sini, skuad The Red Ants berjaya mendahului tuan rumah pada minit ke-14 hasil jaringan penyerang import dari Brazil itu.

Tendangan Ramazotti dengan mudah menewaskan penjaga gol Perak, Hafizul Hakim Khairul Nizam, berpunca dari bola muntah hasil percubaan Romel Oswaldo Morales yang terkena tiang gol.

Gol pendahuluan itu menaikkan semangat pasukan bimbingan Datuk K Rajagopal untuk terus mengasak buat menambah jaringan.

Ramazotti hampir menjaringkan gol kedua pada minit ke-31 namun hampa apabila percubaannya tersasar.

Perak turut memperkemaskan aksi dengan melancarkan serangan balas dan beberapa percubaan dilakukan nyata mendatangkan bahaya kepada pertahanan dan penjaga gol PKNS FC, Mohd Shahril Sa’ari.

Pada separuh masa kedua, PKNS FC terus memberi tekanan kepada skuad Mehmet Durakovic dengan serangan berterusan ke kubu lawan.

Ramazotti (m62) mengukuhkan kedudukan PKNS FC apabila menambah gol kedua melalui tandukan hasil sepakan percuma Mahali Jasuli.

Keputusan itu kekal hingga ke wisel penamat dengan PKNS FC mencatat kemenangan kedua berturut-turut.

Selepas tiga perlawanan, The Red Ants kini menduduki tangga teratas Liga Super dengan tujuh mata hasil dua kemenangan dan satu seri.

KEPUTUSAN LAIN:

PAHANG 3 – 0 KELANTAN

TERENGGANU 4 – 1 SELANGOR

KUALA LUMPUR 1 – 0 JOHOR DARUL TA’ZIM (perlawanan ditangguhkan akibat hujan dan akan bersambung esok jam 5 petang)

Liga Perdana

UKM 1 – 0 JOHOR DARUL TA’ZIM II

FELCRA FC 3 – 2 SARAWAK

UiTM 1 – 1 KUANTAN FC


Pengarang :