EKONOMISELANGOR

Lima produk usahawan Selangor sedia tembusi pasaran global

OLEH NAZLI IBRAHIM

SUBANG JAYA, 23 FEB: Lima usahawan muda Selangor bertekad tidak mensia-siakan peluang membawa hasil inovasi mereka menembusi pasaran antarabangsa apabila produk masing-masing terpilih dalam program SAY ASPIRE.

Pengasas dan Ketua Pengarah Eksekutif pengeluar produk yang dinamakan Tanimac, Ridzuan Othman berkata, kejayaannya hari ini membolehkan beliau mendapat bantuan kewangan juga bimbingan teknikal yang betul untuk mengorak langkah ke tahap global.

“Peluang ini bukan senang dapat dan kami percaya mereka ada sistem pembelajaran yang lebih kukuh dan kita perlukan bantuan teknikal juga kewangan daripada agensi seperti MATRADE untuk mengeksport produk.

“Sesungguhnya dengan bantuan sebegini, syarikat bumiputra yang masih baru seperti kami boleh menembusi pasaran antarabangsa dengan lebih efisien dan membuktikan anak tempatan Malaysia boleh menghasilkan produk inovasi,” katanya.

Beliau berkata demikian pada program ‘SAY ASPIRE 2018 – Pitching Session’ Bersama Duli Yang Teramat Mulia Raja Muda Selangor, Tengku Amir Shah, di Sunway Resort Hotel & SPA, di sini, semalam.

Tanimac adalah alat pertanian inovatif berupa alat penyemai benih pelbagai jenis tanaman yang pertama di dunia dan mampu meningkatkan tahap kecekapan pertanian serta mengurangkan kos buruh dengan drastik.

Ridzuan berkata, antara pasaran global yang menjadi sasaran beliau adalah sekitar Eropah ekoran kos buruh yang tinggi.

Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif syarikat pengeluar produk aiskrim Pops Malaya, Rose Yasmin Abd Karim pula berkata, program yang diilhamkan Tengku Amir Shah itu bakal merealisasikan cita-cita beliau untuk memasarkan produknya ke pasaran global.

“Memang rezeki kami kerana pada peringkat ini semua peserta menawarkan produk terbaik dan kami akan mengambil peluang ini untuk mempelajari bagaimana untuk mengembangkan pasaran.

“Ini adalah peluang untuk usahawan muda di Selangor, bahkan dengan adanya pelan ini kita berpeluang membawa produk buatan Selangor ke pasaran global kerana jika kita bersendirian mungkin boleh capai tetapi sedikit perlahan berbanding jika bekerjasama dengan agensi kerajaan seperti ini,” katanya.

Berbeza dengan kebanyakan produk sama di pasaran, Pops Malaya adalah aiskrim atau snek sihat yang diperbuat daripada bahan semula jadi tanpa bahan tiruan yang sesuai untuk semua golongan khususnya kanak-kanak.

Selain itu, aiskrim berkenaan juga dipasarkan pada harga lebih murah berbanding kebanyakan aiskrim jenama terkenal.

“Dengan produk kami, ibu bapa boleh beri anak makan tanpa rasa bersalah kerana tidak menjejaskan kesihatan mereka. Kita galakkan pengguna buat pilihan lebih sihat,” katanya.

Selain dua syarikat itu, antara usahawan lain yang terpilih adalah produk Dapo iaitu perabut, barangan hiasan dan koleksi peralatan dapur buatan Malaysia dengan konsep jenama gaya hidup hijau.

Sementara dua lagi produk yang terpilih adalah produk tuala wanita, Athena Empowers dan Medicat produk semburan anti kulat juga anti bakteria khusus untuk haiwan peliharaan yang diperbuat daripada minyak masak terpakai.


Pengarang :