PENDIDIKANSELANGOR

Lima sekolah agama Selangor ungguli peperiksaan STAM

OLEH NAZLI IBRAHIM

SEPANG, 24 FEB: Lima daripada 10 Sekolah Agama Bantuan Penuh Kerajaan (SABK) seluruh negara yang diumumkan memperolehi pencapaian terbaik bagi keputusan peperiksaan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) 2018 adalah sekolah agama di Selangor.

Dato’ Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya, berkata kejayaan membanggakan itu diumumkan Kementerian Pendidikan Malaysia baru-baru ini.

“Ini merupakan pencapaian yang sangat bermakna dan membanggakan. Apa yang lebih manis lagi apabila Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Jemaah diumumkan mengungguli tempat pertama secara keseluruhan,” katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Penutupan Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran Peringkat Negeri Selangor 1439H / 2018M di Dewan Serbaguna Masjid Fi Sabilillah, Cyberjaya di sini, malam tadi.

Jelasnya, empat SABK lain yang turut tersenarai adalah Sekolah Agama Menengah Tinggi Sultan Hishamuddin Jalan Kota Raja, Sekolah Agama Menengah Tinggi Tengku Ampuan Rahimah Banting, Sekolah Agama Menengah Tinggi Kuala Kubu Bharu dan Sekolah Agama Menengah Jeram Kuala Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri mengucapkan tahniah dan syabas kepada pelajar, ibu bapa dan guru-guru yang berkerja keras untuk meraih kejayaan ini.

Sebelum itu, pada majlis tilawah kali ini seramai 65 peserta dari sembilan daerah di Selangor memperdengarkan bacaan masing-masing.

Majlis yang berlangsung selama empat hari itu ditutup secara rasmi oleh Duli Yang Maha Mulia (DYMM) Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

=EZY=

 


Pengarang :