OLEH SHEEDA FATHIL
PUCHONG, 23 FEB: Lembaga Zakat Selangor (LZS) menyalurkan bantuan zakat sejumlah RM1.2 juta kepada 130 golongan asnaf fakir dan miskin melalui program Bantuan Asas, di daerah Petaling, hari ini.
Ketua Divisyen Operasi Agihan LZS, Abdul Basith Hamid berkata, ia adalah kesinambungan daripada bantuan lain yang sudah diterima mereka sebelum ini selain memenuhi keperluan asasi asnaf zakat, di Selangor.
“Ia merangkumi bantuan sara hidup, makanan, perlindungan, perubatan dan pendidikan supaya mereka dapat menikmati kehidupan yang lebih berkualiti.
“Namun, hari ini, dikhususkan pemberian kediaman kepada golongan asnaf fakir dan miskin dengan setiap tahun kami sudah memperuntukkan RM50 juta bagi menyediakan penginapan kepada mereka,”katanya pada sidang media selepas Majlis Program Bantuan Keperluan Asasi Asnaf Fakir dan Miskin di Dewan Pangsapuri Enggang, di sini, hari ini.