BERITA UTAMAGLOBAL

Maldives isytihar darurat, tahan bekas presiden

GLOBAL 6 FEB: MALE (MALDIVES): Bekas presiden Maldives, Maumoon Abdul Gayoom ditahan semalam, sejurus selepas abang tirinya, Presiden Abdulla Yameen mengisytiharkan keadaan darurat, menurut anak perempuan Gayoom.

Agensi Berita Antarabangsa AFP melaporkan, beliau yang kini berusia 80 tahun, menyandang jawatan presiden hampir 30 tahun sebelum negara itu mengadakan pilihan raya demokratik pertamanya pada 2018.

Menurut kenyataan anak perempuannya, Yumna Maumoon menerusi Twitter peribadi, bapanya ditahan di kediamannya di ibu kota Male.

Gayoom didakwa memihak kepada pembangkang utama dan giat berkempen menggulingkan abangnya.

Maldives isytihar darurat selama 15 hari

Presiden Maldives, Abdulla Yameen mengumumkan perintah darurat selama 15 hari, berkuat kuasa semalam.

Pengumuman yang dibuat oleh pembantu presiden, Azima Shukoor itu dijangka memburukkan lagi krisis politik yang sedang melanda negara yang terletak di Lautan Hindi itu.

Ia juga bakal memberi kuasa kepada pasukan keselamatan untuk menangkap dan menahan mana-mana suspek, sekali gus bakal meningkatkan ketegangan antara Mahkamah Agung serta pihak kerajaan.

Presiden Abdulla dilaporkan enggan mematuhi arahan mahkamah untuk membebaskan tahanan politik, di sebalik desakan oleh masyarakat antarabangsa.

Azima membacakan deklarasi itu di stesen televisyen sebaik sahaja Abdulla menghantar tiga pucuk surat kepada hakim, bertujuan meminta mereka membatalkan keputusan berkenaan.

Perintah darurat itu adalah yang kedua dikeluarkan oleh Abdulla selepas kali pertama beliau berbuat demikian pada November 2015, selepas mendakwa ada cubaan untuk membunuhnya.

SUMBER: AFP

SUMBER GAMBAR: REUTERS


Pengarang :