BERITA UTAMASELANGOR

Masjid Negeri ‘full house’ demi tazkirah Ustaz Abdul Somad Lc M.A

OLEH AFIX REDZUAN

SHAH ALAM, 15 FEB: Lebih 15,000 jemaah memenuhi segenap ruang dewan solat utama bahagian atas dan bawah Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah untuk bersama-sama mendengar tazkirah yang disampaikan pendakwah dan ulama terkenal dari Riau, Indonesia, Ustaz Abdul Somad Lc. M.A.

Jemaah mula memenuhi ruang sejak jam 6.30 petang walaupun hujan lebat membasahi bandaraya Shah Alam sehingga memaksa mereka meletakkan kenderaan hampir satu kilometer daripada masjid.

Tazkirah bertajuk ‘Dajjal Semakin Hampir’ yang disampaikan Ustaz Abdul Somad Lc M.A antaranya menekankan kepentingan mengamalkan surah Al-Mulk bagi mengelak fitnah Dajjal di akhir zaman.

“Waspada dan berhati-hati. Ajarlah Al-Quran kepada anak-anak dan keluarga, maka berserahlah kepada Allah selepas itu,” katanya.

Selain membahaskan beberapa penerangan berkaitan hadis palsu, beliau turut menjawab beberapa kemuskilan yang dibangkitkan jemaah pada sesi soal jawab.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali turut meluangkan masa untuk mendengar tazkirah berkenaan bersama-sama Dato’ Seri Utama Diraja Mufti Selangor, Dato’ Setia Mohd Tamyes Abd Wahid, Pengarah Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), Dato’ Haris Kasim dan Imam Masjid Negeri, Ustaz Muhammad Farhan Wijaya.

Mohamed Azmin yang ditemui sejurus majlis tamat nyata gembira dengan kehadiran jemaah yang bersama-sama mendengar pengisian tazkirah.

“Alhamdulillah dan kita bersyukur kerana ini selaras dengan dasar Kerajaan Negeri yang mahu mengimarahkan masjid dan surau sebagai pusat ilmu.

“Banyak ilmu yang kita perolehi hari ini (semalam) untuk mempertahankan ajaran Ahli Sunnah Wal Jamaah,” katanya.

Kehadiran sekumpulan jemaah yang ingin bersalaman bersama Ustaz Abdul Somad Lc M.A selepas tamat sesi tazkirah dan solat Isyak memaksa rombongan mengambil masa hampir 30 minit untuk beredar meninggalkan perkarangan masjid.

Ustaz Abdul Somad Lc. M.A yang menamatkan pengajian di Universiti Al-Azhar, Mesir terkenal dengan siri kuliah agama dalam bidang hadis dan ilmu feqah selain membahaskan beberapa perkara semasa.

 

=EZY=

 


Pengarang :