SELANGOR

Masjid Ukay Perdana jadi kenyataan

OLEH NAZLI IBRAHIM

BUKIT ANTARABANGSA, 9 FEB: Hasrat untuk melihat sebuah lagi masjid didirikan bagi menampung pertambahan penduduk di Ukay Perdana menjadi kenyataan apabila sebuah masjid bernilai RM11.2 juta siap sepenuhnya, tahun lalu.

Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali, berkata, masjid yang diusahakannya sejak beliau belum menjawat jawatan Dato’ Menteri Besar itu diserahkan kepada Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS), pada 28 Disember lalu.

“Saya berusaha menarik perhatian Kerajaan Negeri ketika saya masih bergelar Ahli Dewan Negeri (ADN) biasa sahaja dan syukur hari ini ia berjaya disiapkan.

“Maka, menjadi tanggungjawab anak kariah untuk mengimarahkan masjid ini bukan sahaja sebagai pusat ibadah tetapi pelbagai program kemasyarakatan dan ilmuan lain,” katanya yang juga ADN Bukit Antarabangsa.

Beliau berkata demikian pada program Penyampaiam Bantuan Kewangan Kepada Masjid dan Surau Serta Solat Jumaat di Masjid Ukay Perdana, di sini, hari ini.

Mohamed Azmin berkata, masyarakat Islam di Ukay Perdana turut menikmati pembangunan sekolah agama selain pembangunan masjid.

Katanya, Kerajaan Negeri turut memperuntukkan sebidang tanah untuk dijadikan tanah pertubuhan Islam yang baru.

“Satu tapak perkuburan baru juga sudah dikenalpasti dan akan cukup menampung keperluan masyarakat Islam, di sini,” katanya.


Pengarang :