SELANGOR

MB: “I’m back in action”

OLEH NORHAYATI UMOR

KUALA LUMPUR, 26 FEB: ‘I’m back in action! Seperti yang anda lihat’, ” kata Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin yang disahkan mengalami kecederaan tulang belakang ‘annular tear of spinal disc’ beberapa hari lalu dilihat mula menjalankan tugas rasminya pagi ini dengan penuh semangat walaupun masih memakai ‘soft braces’.

Beliau berkata, walaupun doktor menasihatkannya untuk berehat daripada sebarang acara untuk tempoh ini, namun beliau tidak mahu ketinggalan meneruskan pelancaran yang memberi manfaat pada rakyatnya.

“Pertama sekali, saya hanya ingin mengatakan bahawa sangat gembira dan berbesar hati untuk berkongsi sekali lagi landasan dengan Institusi Jantung Negara (IJN) sejak acara utama terakhir, pada 31 Oktober lalu.

“Secara kebetulan, ini juga penampilan umum saya yang pertama selepas dibenarkan pulang dari hospital.

“Berkumpul di sini dan begitu banyak pakar perubatan, oleh itu saya mahu mengambil peluang ini. Seperti tuan-tuan lihat, saya kembali beraksi!,” katanya dengan penuh semangat.

Ketika ditanya berkenaan rawatannya, Mohamed Azmin berkata, beliau masih perlu menjalani fisioterapi setiap hari, selama sebulan.

“Langkah ini dapat membantu memulihkan tahap kesihatan saya iaitu sekurang-kurangnya selepas lima hari boleh bergerak tanpa bantuan.

“Pada awalnya saya perlu menggunakan walker, tapi sekarang boleh bergerak dengn bebas walaupun agak terhad tapi bersyukur kerana dapat bertugas pagi ini seperti biasa,” katanya.

Beliau turut mengucapkan terima kasih kepada semua yang mendoakan kesihatan dan kesejahteraannya.

Mohamed Azmin mengalami kecederaan itu minggu lalu ketika mengalihkan perabot di kediamannya untuk menyambut cucu sulung beliau, baru-baru ini.


Pengarang :