SUKANKINI

MB: Isu memorandum, bola sepak, Amirudin selesaikan

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 2 FEB: Exco Generasi Muda, Sukan, Kebudayaan dan Pembangunan Usahawan, Amirudin Shari, dipertanggungjawabkan meneliti memorandum diserahkan Badan Bertindak Penyokong Selangor (BBPS) seterusnya menyelesaikan isu dibangkitkan.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perkara disuarakan berhubung Persatuan Bolasepak Selangor (FAS) dan Stadium Shah Alam itu berkaitan dengan portfolio diketuai Amirudin.

“Semua orang (atau pihak) boleh menyerahkan memorandum.

“Saya serahkan kepada kebijaksanaan Amirudin untuk meneliti memorandum itu,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Semalam, BBPS mengadakan pertemuan dan perbincangan dengan Amirudin seterusnya menyerahkan memorandum itu ke pejabat Dato’ Menteri Besar.

Perbincangan itu menjuruskan kepada isu hubungan dingin antara Kerajaan Negeri dan FAS serta penggunaan Stadium Shah Alam untuk pasukan Selangor, dengan harapan satu penyelesaiaan dapat dicapai untuk kebaikan semua.

Semalam, Amirudin berkata, perbincangan awal mengenainya telah dijalankan dan pihaknya sedang mengenal pasti beberapa pilihan supaya masalah itu dapat diselesaikan.

Katanya, Kerajaan Negeri sedia mengadakan perbincangan dengan FAS bagi mencari penyelesaian dalam isu pengunaan Stadium Shah Alam untuk kegunaan pasukan Selangor.


Pengarang :