SELANGOR

MB: Kerajaan Negeri pastikan pembangunan seimbang

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 2 FEB: Kerajaan Negeri akan memastikan pembangunan di Selangor dilaksanakan secara seimbang di antara pembangunan fizikal dan kerohanian demi kebaikan negeri dan rakyat.

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, pembangunan sebegitu wajar dijalankan bagi menjamin kejayaan lebih besar pada masa akan datang.

“Memang menjadi hasrat Kerajaan Negeri mengimbangi pembangunan di Selangor untuk manfaat semua pihak berkaitan.

“Ia bukan sahaja pembangunan infrastruktur seperti sektor industri dan kewangan sahaja tetapi juga pembangunan kerohanian yang mana begitu penting untuk memastikan umat Islam terpelihara aqidah dan akhlak,” katanya kepada media.

Beliau berkata demikian selepas memnunaikan solat Jumaat juga majlis penyerahan bangunan Masjid Tun Teja di antara Jabatan Kerja Rayat Selangor kepada Jabatan Agama Islam Selangor di sini, hari ini.

Beliau berkata, masjid itu adalah antara masjid telah disiapkan dengan sokongan Kerajaan Negeri dan pihaknya sedang memantau pembangunan lain.

Katanya, Kerajaan Negeri berharap Masjid Tun Teja dapat menjadi pusat pusat ibadah serta juga tarbiah dan pengembangan syiar Islam.

“Masjid juga berfungsi dalam perkara mengenai kebajikan dan sosial untuk masyarakat kerana masih ramai rakyat memerlukan bantuan seperti dalam soal pendidikan, kesihatan dan makanan,” katanya.

Pembinaan Masjid Tun Teja membabitkan kos RM10 juta dimulakan pada 2015 bagi memenuhi keperluan masyarakat Islam di kawasan itu dan sekitarnya.


Pengarang :