SELANGOR

MB: Nak lihat dokumen? Silakan

OLEH AFIX REDZUAN

DENGKIL, 27 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali menegaskan Kerajaan Negeri tidak mempunyai masalah sekiranya pihak berkuasa ingin menyiasat isu pemberian pampasan kepada peneroka di Ijok, Kuala Selangor.

Katanya, Kerajaan Negeri akan terus memihak kepada rakyat, bukannya syarikat-syarikat besar.

“Lihat sahaja apa yang berlaku di Ijok, riuh saya diserang setiap malam seolah-olah ada penyelewengan. Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pun serbu pejabat saya.

“Nak siasat, siasatlah. Tiada masalah. Kerajaan Negeri hari ini amat terbuka dan berintegriti. Siapa nak lihat dokumen, boleh lihat.

“Saya beri jaminan, tanggungjawab saya di Ijok adalah menyelamatkan peneroka, bukan syarikat-syarikat besar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama di Majlis Penyerahan Hakmilik Muktamad dan Kad Kasih Ibu Smart Selangor (KISS) Bagi Mukim Dengkil, Daerah Sepang bertempat di Padang Awam Kampung Sungai Buah.

Sebelum ini, pimpinan Barisan Nasional (BN) mempolitikkan isu pemberian pampasan yang melibatkan 980 peneroka di Ijok sedangkan isu yang berlarutan hampir 20 tahun itu gagal diselesaikan sendiri mereka ketika mentadbir Negeri Selangor.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Dzulkifli Ahmad dalam kenyataannya yang dilaporkan pada 22 Februari lalu menafikan pihaknya melakukan serbuan ke pejabat Mohamed Azmin.

Katanya, SPRM hanya pergi ke lima syarikat, termasuk sebuah firma guaman bagi membantu siasatan berhubung isu tanah di Ijok, Kuala Selangor.

=EZY=

 


Pengarang :