SELANGOR

MB: PAKATAN masih bincang pembahagian kerusi di Selangor

 

OLEH HAFIZAN TAIB

RAWANG, 2 FEB: Pakatan Harapan (PAKATAN) Selangor masih menjalankan perbincangan mengenai pembahagian kerusi dan diyakini dapat dimuktamadkan menjelang Pilihan Raya Umum ke 14 (PRU14) nanti.

Dato’ Menteri Besar dan Naib Presiden PAKATAN, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, perbincangan membabitkan empat parti, KEADILAN, PPBM, DAP dan AMANAH, terus berjalan lancar di mana terdapat beberapa perkara memerlukan penelitian untuk diselesaikan.

“Saya yakin kalau ada konsesus dan proses ini berjalan, kita boleh memuktamadkannya.

“Dirasakan untuk Selangor sudah mencapai persetujuan pada tahap kira-kira 80 peratus, namun ada sedikit belum diselesaikan,” katanya kepada media di sini, hari ini.

Beliau berkata, perbincangan akan terus dijalankan dan ia adalah proses biasa apabila menyentuh isu seperti pertindihan kerusi dan sebagainya.

Dalam pada itu, Mohamed Azmin ketika menjawab pertanyaan media berkata, beliau mungkin mempertimbangkan untuk bertanding di kawasan parlimen Bagan Datoh dalam PRU14 nanti.

“Dahulu ada cadangan saya (bertanding) ke Pekan, sekarang saya mungkin pertimbangkan untuk bertanding di Bagan Datoh.

“Ini kerana Selangor, saya rasa ok maka saya mungkin perlu bergerak keluar dan saya sedang memikirkannya,” kata Ahli Parlimen Gombak itu berteka teki.

Bagaimanapun, Timbalan Presiden KEADILAN itu menyerahkan kepada parti bagi menetapkannya.

“Gombak boleh, Pekan boleh, Bagan Datoh boleh, di mana sahaja, parti akan putuskan,” katanya sebelum ini dikaitkan akan berpindah ke parlimen Shah Alam yang diwakili Khalid Abdul Samad (AMANAH).

Parlimen Bagan Batoh di Perak kini disandang Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.


Pengarang :