SELANGOR

MB puji dan sokong kebun komuniti Keramat Pangsa

OLEH NAZLI IBRAHIM

HULU KELANG, 10 FEB: Usaha gigih dan kerjasama erat penduduk Pangsapuri Keramat Pangsa, di sini, membangunkan kebun komuniti mereka berbaloi apabila bukan sahaja dapat berkongsi hasilnya tetapi turut menarik perhatian Dato’ Menteri Besar, Dato’Seri Mohamed Azmin Ali.

Mohamed Azmin ketika ditanya berkenaan tinjauannya di kebun itu berkata, Kerajaan Negeri sedia mempertimbangkan permohonan mereka untuk membesarkan kebun seluas 0.74 ekar itu.

“Saya ingin mengucapkan tahniah kepada masyarakat di Keramat Pangsa ini kerana membangunkan kebun komuniti yang saya sendiri tinjau sebentar tadi. Kebun ini bukan sahaja memupuk ukhwah tetapi juga dapat menonjolkan kemahiran beberapa tokoh tertentu, di taman ini.

“Akhirnya, hasil usaha rakyat di kawasan ini, maka ramai yang dapat menikmati sayur-sayuran dan bahan makanan secara percuma.

“Ini sangat baik dan mereka ada rancangan membesarkan kebun komuniti ini. Saya akan melihat permohonan terbabit dan sudah tentu Kerajaan Negeri memberikan sokongan terhadap usaha penduduk Keramat Pangsa ini,” katanya, di sini, semalam.

Beliau berkata demikian selepas meninjau kebun komuniti penduduk Pangsapuri Keramat Pangsa yang terletak bersebelahan taman permainan kanak-kanak berhampiran pangsapuri terbabit.

Katanya, aktiviti dijalankan penduduk itu juga mampu membantu menjimatkan perbelanjaan dapur bagi penduduk, di kawasan itu.

Sementara itu, Pengerusi Kawasan Rukun Tetangga (KRT), Rumah Pangsa AU2, Taman Keramat, Mohamad Halim Mohamad Said memberitahu SelangorKini, kebun komuniti itu dijalankan di atas tanah Kerajaan Negeri yang belum dibangunkan selepas mendapat kebenaran Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Katanya, MPAJ turut memberi pelbagai bantuan seperti baja, benih dan peralatan berkebun.


Pengarang :