BERITA UTAMASELANGOR

MB: Selangor beri kerjasama penuh SPRM

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 16 FEB: Kerajaan Negeri sudah menyerahkan semua dokumen berkaitan isu tanah di mukim Ijok kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali berkata, dokumen berkenaan diserahkan beberapa bulan sebelum ini ekoran laporan yang dibuat beberapa badan bukan kerajaan (NGO).

Katanya, Kerajaan Negeri sentiasa memberi kerjasama penuh dalam isu terbabit.

“Kerajaan Negeri sudah memberi kerjasama penuh dan kita tunggu hasil siasatan nanti,” katanya.

Terdahulu, Pengarah Komunikasi Strategik Pejabat Menteri Besar, Yin Shao Loong, menyifatkan Barisan Nasional (BN) ‘panik’ kerana Mohamed Azmin dapat menyelesaikan masalah peneroka tanah terbabit hanya dalam tempoh empat tahun, berbanding pengurusan FELDA yang semakin tenggelam dengan penyelewengan.

Katanya, Mohamed Azmin mementingkan pembelaan peneroka tanah di mukim Ijok itu dan setiap peneroka terbabit mendapat pampasan RM180,000 dan rumah yang bernilai sekurang-kurangnya RM400,000.

“Masalah berkenaan sebenarnya timbul ketika pentadbiran BN apabila peneroka menunggu selama 18 tahun untuk memperoleh keadilan.

“Tindakan segera Dato’ Seri Mohamed Azmin menyelesaikannya adalah prinsip keadilan sosial dan peduli rakyat Kerajaan Negeri,” katanya.

Shao Loong turut menyifatkan Menteri Umno tidak memahami fakta dan tidak memahami latar kes mahkamah berhubung isu tanah, di Ijok.

 

 


Pengarang :