BERITA UTAMASELANGOR

MB: Tak sekat peruntukan Ahli Dewan Negeri PAS

OLEH SYAZWANI SUFIAN

AMPANG, 9 FEB: Dato’ Menteri Besar, Dato Seri Mohamed Azmin Ali, menafikan dakwaan Kerajaan Selangor menyekat peruntukan Ahli Dewan Negeri (ADN) PAS, di negeri itu.

Mohamed Azmin berkata, Kerajaan Selangor adalah satu-satunya negeri yang memberikan peruntukan pembangunan kepada semua ADN termasuk Barisan Nasional (BN).

“Tidak ada negeri lain yang melaksanakan dasar yang adil dan saksama termasuk di Parlimen.

“Tak perlu pegi jumpa istana, ini soal pentadbiran begitu juga peruntukan PAS. Jadi tidak ada sebab itu disekat,” katanya selepas sessi lawatan kerja di Kompleks Muhibbah, Ampang, di sini, pagi tadi.

Mohamed Azmin berkata, peruntukan itu diberikan kepada semua ADN di Selangor tanpa membezakan antara wakil rakyat daripada parti mana.

“Saya menghormati kepada prinsip demokrasi. Mereka dipilih oleh rakyat dan menjadi ADN, maka menjadi tanggungjawab Kerajaan Negeri menyediakan peruntukan pembangunan bagi membantu rakyat, di kawasan berkenaan.

“Tetapi 12 ahli BN mengambil keputusan untuk tidak mahu menerima peruntukan terbabit, namun itu hak mereka tetapi di pihak Kerajaan Negeri kita tetap berikan peruntukan buat semua ADN.

“Kalau ADN BN pun kita beri, maka sudah tentu ahli parti lain juga menerima sebagai hak mereka sebagai ADN.

Mohamed Azmin juga menjelaskan, beliau menerima surat daripada beberapa ADN untuk memohon peruntukan bagi projek pembangunan dan perkara itu sudah dilanjutkan kepada pegawai daerah untuk diteliti lebih lanjut.

“Namun, sekirannya ada masalah di peringkat daerah seperti sebarang bentuk kelewatan, maka mereka boleh bertemu dengan pegawai daerah atau saya sendiri,” katanya.


Pengarang :