PBTSELANGOR

MBSA hulur sumbangan sempena Tahun Baharu Cina

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 12 FEB : Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) akan meneruskan aktiviti penyerahan sumbangan bersempena sambutan Tahun Baharu Cina kepada golongan memerlukan di sekitar sini.

Ketua Bahagian Korporat & Perhubungan Awam, Shahrin Ahmad berkata, tujuan pelaksanaan program itu bagi membantu meringankan beban mereka yang kurang berkemampuan untuk membuat persediaan menyambut sambutan Tahun Baharu Cina yang akan datang.

“Kami sudah kenal pasti 120 penerima kaum Tionghua di kawasan sini yang layak menerima sumbangan mengikut kriteria seperti golongan fakir miskin, ibu tunggal, warga emas serta Orang Kelainan Upaya (OKU).

“Ia merupakan komitmen secara berterusan pihak kami untuk membantu masyarakat melalui program kemasyarakatan di samping memberi peluang kepada warga Shah Alam mendekati pihak pengurusan majlis,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Shahrin berkata, nilai barangan yang disumbangkan adalah sebanyak RM150 dan wang tunai sejumlah RM100 untuk setiap penerima.

“Sumbangan diberikan antaranya beras, minyak masak, gula, sardin dan tepung.

Terdahulu, Dato’ Bandar Shah Alam, Dato’ Ahmad Zaharin Mohd Saad menyerahkan sumbangan itu semasa program Shah Alam Hari Tanpa Kenderaan pada 11 Februari, lalu.

Shahrin berkata, sumbangan seterusnya akan dilakukan secara berperingkat di setiap zon Majlis Perwakilan Penduduk (MPP) di bawah kawasan pentadbiran MBSA.

“Pihak kami berharap melalui program ini dapat membantu sedikit sebanyak beban yang ditanggung oleh mereka kurang bernasib baik untuk meraikan Sambutan Tahun Baharu Cina,” katanya.

=EZY=


Pengarang :