PBTSELANGOR

MDKL tolak dakwaan naik cukai taksiran sehingga 400%

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 7 FEB: Majlis Daerah Kuala Langat (MDKL) menafikan dakwaan menaikkan cukai taksiran terhadap kediaman mereka sehingga 400 peratus.

Timbalan Yang Dipertua MDKL, Mohd Yasin Alwi, berkata hal itu kerana sebelum satu-satu pindaan nilaian dilakukan, cadangan pindaan nilaian dibentangkan di dalam Mesyuarat Jawatankuasa Kewangan dan selepas itu disahkan di dalam Mesyuarat MDKL.

Katanya, penduduk sejak 2015 dikenakan cukai taksiran rendah ekoran lot terbabit merupakan tanah kosong namun kini lot rumah sudah dibangunkan.

“Cukai pintu yang dibangkitkan penduduk membabitkan lot individu bagi projek pembangunan 22 unit rumah teres dua tingkat dan satu unit rumah dua tingkat dikeluarkan oleh Jabatan Perancangan Pembangunan pihak berkuasa tempatan (PBT) itu, pada 27 Mei 2014.

“Bagaimanapun, pemilik harta bercukai dibolehkan membuat bantahan terhadap cukai pintu yang dikenakan dengan menggunakan peruntukan mengikut Seksyen 142 Akta Kerajaan Tempatan, 1976 (Akta 171),” katanya dalam kenyataan.

Mohd Yasin berkata sehingga tamat tempoh bantahan pada 21 Disember 2014, pihak MDKL tidak menerima sebarang bantahan secara bertulis daripada pemilik yang terbabit sehinggalah pada 21 Disember 2017.

“Berikutan itu, kami mengenakan nilai tahunan berdasarkan bangunan itu iaitu sebanyak RM9,600 dengan kadar cukai taksiran pada kadar 11 peratus.

“Lot subjek adalah rumah sesebuah dua tingkat berkeluasan 401.25 meter persegi itu dikenakan cukai taksiran RM1,056 setahun yang berkuat kuasa mulai 1 Januari 2018,” katanya.

Mohd Yasin berkata lot subjek yang merupakan tanah kosong itu sebelum ini seluas 563 meter persegi atau 6060 kaki persegi dan dikenakan Cukai Taksiran sebanyak RM250.80 setahun, sejak 2015.

“Selanjutnya, pada tarikh 21/06/2017, Sijil Pematuhan dan Perakuan Siap (CCC) dikeluarkan, pada 5 September 2017, pihak MDKL melakukan semakan di tapak oleh Jabatan Penilaian dan Pengurusan Harta dan mendapati pegangan itu sudah mendirikan rumah.

“Maka, satu Notis Pindaan kepada Senarai Nilaian dikeluarkan ke alamat sepertimana bil Cukai Taksiran yang diterima oleh pemilik pada 14 September 2017.

“Malangnya, sehingga 21 Disember 2017 iaitu tarikh akhir melakukan sebarang bantahan, pihak MDKL tidak menerima apa-apa bantahan daripada pemilik,” katanya.

Terdahulu, bagi meringankan beban kos sara hidup yang tinggi, Kerajaan Negeri Selangor dan MDKL tidak mengenakan sebarang bayaran cukai taksiran bermula daripada tahun 2016 hinggi kini ke atas kediaman kos rendah dan rumah kampung.

Untuk makluman juga, aras nilaian MDKL adalah merupakan aras nilaian (tone of list) tahun 1987 dan sehingga kini tiada kenaikan cukai.

=EZY=


Pengarang :