NASIONAL

Mengapa 4G di Malaysia lembab?

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 22 FEB: Kerajaan Persekutuan digesa menangani isu kelajuan internet, di Malaysia yang dilaporkan tidak setanding negara lain.

Pengarah Komunikasi KEADILAN, Fahmi Fadzil berkata, isu itu perlu ditangani bagi memastikan infrastruktur internet tanpa wayar, di negara ini dipertingkatkan seiring Revolusi Perindustrian 4.0.

“Apakah yang akan dilakukan kerajaan untuk menjamin peningkatan kelajuan perkhidmatan 4G bagi pengguna di Malaysia?

“Pengguna perkhidmatan 4G di negara ini sepatutnya menikmati kelajuan jauh lebih baik berbanding apa yang ada sekarang,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan laporan The State of LTE, pakar pemetaan liputan tanpa wayar OpenSignal menyatakan purata kelajuan 4G di Malaysia adalah 14.83 megabit per saat (Mbps) dan ia kelajuan terendah antara 88 negara dikaji.

Katanya, ia jauh ketinggalan berbanding negara jiran seperti Singapura yang memiliki kelajuan
44.32 Mbps, Vietnam (21.49 Mbps), Brunei (17.48 Mbps) dan Myanmar (15.56 Mbps).

“Jika benar, ini bukan satu rekod atau pencapaian membanggakan. Ketika Malaysia mempunyai kadar penembusan 4G hampir 75 peratus, kelajuan 4G di negara ini amat mendukacitakan,” katanya.


Pengarang :