PENDIDIKANSELANGOR

MITS kelima tampung keperluan pelajar

OLEH HAFIZAN TAIB

CYBERJAYA 21 FEB: Kerajaan Negeri melalui Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) akan membina sebuah Maahad Integrasi Tahfiz Sains dan Teknologi (MITS) pada tahun ini, bagi memenuhi keperluan pelajar dalam pendidikan agama Islam.

Pengarah JAIS, Dato’ Haris Kasim, berkata pendidikan aliran agama kini mendapat perhatian istimewa ibu bapa dan jumlah peningkatan pelajar ke MITS menjadikan keperluan bagi penambahannya.

“Pada tahun lalu, seramai 1,016 pelajar berjaya mendaftar diri di empat MITS manakala tahun ini berlaku peningkatan apabila 1,031 iaitu 545 pelajar lelaki dan 486 pelajar perempuan mendaftar.

“Dengan peningkatan jumlah permintaan ke MITS, Kerajaan Negeri bersetuju membina MITS kelima di Pandan, pada tahun ini,” katanya dalam Majlis Tilawah dan Menghafaz Al-Quran 1439H/2018M peringkat Selangor di sini, semalam.

Beliau berkata, ketika ini terdapat empat MITS di bawah JAIS iaitu di Jugra, Klang, Sabak Bernam dan Sepang.

Katanya, jumlah kemasukan ke Sekolah Agama Menengah (SAM) juga menunjukkan peningkatan di Selangor dengan 3,528 pelajar pada tahun ini berbanding 3,456 pelajar tahun lalu dan peningkatan kemasukan itu adalah melebihi berbanding tawaran disediakan JAIS.

‘Majlis tilawah dan menghafaz Al-Quran diadakan ini bukan sahaja untuk meningkatkan mutu bacaan dan menghafaz Al-quran di kalangan peserta tetapi juga bermatlamat agar umat Islam dapat menghayati isi kandungan ayat suci Kalamullah disampaikan huffaz dan dilagukan qari dan qariah,’ katanya.

Hadir sama, Exco Hal Ehwal Agama Islam, Adat Melayu & Warisan, Pembangunan Desa dan Kampung Tradisi, Dato’ Dr Ahmad Yunus Hairi mewakil Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali dan Setiausaha Kerajaan Negeri, Dato’ Mohd Amin Ahmad Ahya.

=EZY=


Pengarang :