NASIONAL

MO1 dan 1MDB punca masalah kerja?

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 26 FEB: Malaysia berdepan dengan masalah pasaran kerja disebabkan Malaysian Official 1 (MO1) yang terkenal disebabkan skandal 1Malaysia Delevepoment Berhad (1MDB).

Setiausaha Agung KEADILAN, Datuk Saifuddin Nasution Ismail berkata, hal itu terbukti apabila kerajaan ditadbir Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak terus mengalami kejatuhan dalam kedudukan Indeks Rasuah Terburuk (CPI 2017).

Katanya, ia sekali gus membawa kesan buruk negara di kaca mata pelabur tempatan juga antarabangsa.

“Salah satu penyalahgunaan kuasa kerajaan Umno-BN adalah tidak pedulikan tuntutan rakyat terhadap kebertanggungjawaban dalam urusan kewangan (fiskal),” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian bagi mengulas kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, yang menyalahkan tindakan sesetengah pihak yang memburukkan Malaysia di luar negara sehingga memberi kesan buruk kepada pasaran kerja anak muda dalam negara.

Pada masa sama, Saifuddin berkata, kerajaan perlu sedar bahawa hampir separuh daripada jumlah pekerja menganggur adalah golongan muda walaupun mereka hanya mewakili satu pertiga daripada jumlah tenaga kerja Malaysia.

Katanya, peluang pekerjaan yang wujud dalam ekonomi negara masih tertumpu kepada pekerjaan berkemahiran rendah dan sederhana yang kini dipelopori tenaga kerja asing walaupun tahap pendidikan tenaga kerja semakin meningkat.

“Sekiranya ingin membolehkan anak muda Malaysia terutama golongan siswazah memperoleh gaji yang adil dan berpatutan, Pakatan Harapan akan membuat perubahan yang menyeluruh bagi menyelesaikan permasalahan ini.

“Antara perhitungan besar pengundi pada PRU14 ini adalah memilih kepimpinan dan kerajaan yang boleh mengeluarkan negara daripada amalan rasuah, kronisme dan salah guna kuasa sebagai faktor utama yang menggagalkan Malaysia untuk mencapai kedudukan negara maju,” katanya.

 


Pengarang :