BERITA UTAMASELANGOR

Mohamed Azmin terima kunjungan hormat Presiden Majlis Wilayah Rabat-Sale-Kenitra

OLEH SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 8 FEB: Presiden Majlis Wilayah Rabat-Sale-Kenitra, Morocco, H E Abdessamad Sekkal, mengadakan kunjungan hormat ke pejabat Dato’ Menteri Besar Selangor, semalam.

Pegawai Kewangan Negeri, Dato’ Nor Azmie Diron berkata, kunjungan kali pertama itu turut membincangkan isu ekonomi selain merapatkan hubungan strategik dua hala.

“Antara perkara dibincangkan adalah usaha untuk mempertingkatkan ekonomi Selangor hingga ke peringkat antarabangsa.

“Ia juga disifatkan sebagai mengangkat imej Selangor di mata dunia, di samping menarik lebih ramai pelaburan yang bakal menjadi penyumbang perkembangan ekonomi negeri,” katanya.

Kunjungan itu turut dihadiri Ketua Kerjasama Hubungan Antarabangsa Wilayah Rabat-Sale-Kenitra, Yasmine Amid dan Timbalan Jabatan Pengurusan Perancangannya, Nawal Arifi.

Nor Azmie berkata, pertemuan itu turut membincangkan berhubung soal kerjasama pendidikan antara Selangor dan Morocco.

“Sebelum ini, Dato’ Menteri Besar Selangor, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali pernah ke Morocco untuk menyampaikan sumbangan pendidikan Peduli Siswa.

“Jadi, kami turut membincangkan soal pendidikan bagi menambahbaik lagi struktur pendidikan rakyat Selangor di peringkat antarabangsa, hari ini,” katanya.

Terdahulu, Mohamed Azmin pernah mengetuai delegasi Kerajaan Negeri menyampaikan sumbangan terbabit, di Agdal, Rabat.


Pengarang :