SUNGAI BULOH 20 FEBRUARI 2018. Mayat terakhir ditemui kira-kira jam 4.35 petang, lebih kurang 24 kilometer dari lokasi kejadian. NSTP/IHSAN BOMBA
BERITA UTAMASELANGOR

Mohon JPS Selangor naikkan papan notis bahaya di Sungai Gasi

OLEH SABIRAH AZIZ

SHAH ALAM, 21 FEB: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Selangor diminta menaikkan papan notis di kawasan yang dikhuatiri tidak selamat untuk melakukan sebarang aktiviti di Sungai Gasi, berdekatan Kem Sungai Buloh.

Ahli Dewan Negeri (ADN) Paya Jaras, Mohd Khairuddin Othman berkata, cadangan untuk menaikkan papan notis bahaya itu akan diusulkan kepada pihak JPS Selangor dalam usaha mengelak kejadian sama berulang.

“Ini adalah kejadian pertama berlaku di kawasan itu sejak 2013. Saya juga akan membangkitkan perkara ini dalam sidang Dewan Negeri Selangor yang akan diadakan kelak.

“Selain itu, saya memohon Exco Infrastruktur, Kemudahan Awam, Pemodenan Pertanian dan Industri Asas Tani, Zaidy Abdul Talib, mengambil perhatian dengan menjalankan sebarang tindakan bagi memastikan keselamatan penduduk dan orang ramai di kawasan itu,” katanya kepada SelangorKini.

Mohd Khairuddin turut menasihatkan penduduk dan orang ramai supaya tidak menjalankan sebarang aktiviti di kawasan yang berisiko dalam keadaan cuaca yang tidak menentu pada masa ini.

“Jika mahu memancing atau membuat aktiviti riadah lain, boleh lakukannya di kawasan selamat dan perlu lebih prihatin dengan keadaan sekeliling,” katanya.

Dalam kejadian kira-kira jam 5.40 petang, 19 Februari lalu, lima maut manakala tiga lagi terselamat selepas dibawa arus deras ketika memancing di Sungai Gasi.

Mangsa yang terkorban ialah Hashir, 38, seorang warga Indonesia manakala empat lagi iaitu Jamaluddin Rapawi,14; Silawati Zailan, 31; Jeleha Hashim, 48 dan Rapawi Jum’ada, 37, adalah warga tempatan.

Tiga yang terselamat iaitu Rizal Mad Desa, 31; Syamsul Azhar Ismail, 33 dan Taib Asik, 31, sempat menyelamatkan diri setelah menyedari kehadiran kepala air dari hulu sungai itu.

Susulan penemuan semua mangsa, pos kawalan operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditutup pada 6.30 petang semalam, selepas hampir 24 jam beroperasi.

=EZY=


Pengarang :