SELANGOR

MPK lancar kenderaan promosi ‘Gempur Aedes’

OLEH NORHAYATI UMOR

KLANG, 28 FEB: Proaktif menangani masalah denggi di kawasan pentadbirannya, Majlis Perbandaran Klang (MPK) melancarkan kenderaan promosi ‘Gempur Aedes’ bagi tujuan promosi dan hebahan kepada penduduk sekitar.

Yang DiPertuanya, Dato’ Mohamad Yasid Bidin berkata, kenderaan Perodua Bezza model Premium X terbabit dilengkapi sistem siaraya dan berinformasi bagi menguar-uarkan kepentingan mencegah Aedes.

Katanya, ia akan digerakkan di seluruh Klang khususnya kawasan perumahan.

“Melihat peningkatan kes demam denggi yang membimbangkan ini, MPK mempergiatkan segala usaha membanteras aedes ke tahap maksima.

“Pelbagai usaha dijalankan seperti gotong royong, ceramah kesihatan, operasi pembersihan, operasi bersepadu pelbagai agensi dan penguatkuasaan.

“MPK turut menubuhkan pasukan Komuniti Bebas Aedes 10 minit (KOBA-10) di lokasi mengikut zon Ahli Majlis,” katanya selepas mempengerusikan mesyuarat bulanan, di sini.

Untuk rekod, kawasan MPK mencatatkan sejumlah 6,745 kes termasuk enam kes membabitkan kematian, tahun lalu.

Manakala, dalam tempoh dua bulan tahun ini, sebanyak 1,047 kes dilaporkan.

Mohamad Yasid berkata, dua kawasan hotspot dikenal pasti menyumbang kepada wabak itu adalah Andalas (52 kes) dan Meru (30 kes).

“MPK turut melantik empat Pest Control Operator (PCO) untuk menjalankan operasi dan tindakan di kawasan-kawasan yang dikenal pasti,” katanya.


Pengarang :