PBTSELANGOR

MPKj bakal wujudkan laman niaga di Bandar Baru Bangi

OLEH SABIRAH AZIZ

KAJANG, 1 FEB: Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) bakal mewujudkan laman niaga di Bandar Baru Bangi bertempat di sebelah kawasan kilang yang berhampiran pasar raya Warta.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuthi Bakar berkata, ia bertujuan memberikan keselesaan kepada penjaja yang berniaga di tepi jalan di kawasan bandar itu.

“Ini kerana kita mahu menyelesaikan masalah penjaja-penjaja yang ramai di tepi jalan di kawasan Bandar Baru Bangi termasuk pasar malam dan mereka perlu mempunyai lesen perniagaan.

“Laman niaga di kawasan itu akan mempunyai penempatan besar,” katanya sambil menambah ia adalah laman niaga lain yang diwujudkan selain laman niaga di Bandar Mahkota Cheras (BMC).

Katanya, bagaimanapun, perkara itu masih dalam perancangan dan pihaknya kini sedang menunggu tender.

“Selain itu, kita mahu memberi peluang kepada penjaja dan peniaga untuk mencari sumber pendapatan.

Mengulas isu pemilik perniagaan yang mendakwa pihak Majlis menggunakan ruang lapang secara salah untuk tapak niaga di BMC, Mohd Sayuthi berkata, pihaknya hanya boleh meletakkan tapak tersebut di zon penampan iaitu di antara jalan awam dan kawasan yang dimajukan.

“Penjaja haram sentiasa berniaga di tepi jalan. Dalam usaha menyelesaikan masalah ini, MPKj telah mengumpulkan mereka (penjaja) di satu tempat supaya boleh beroperasi dengan lesen perniagaan yang sah.

“Kami mahu memberi mereka peluang untuk hidup juga. Jadi, mereka dibenarkan beroperasi di sana dengan syarat tidak akan menjual barangan yang bersaing dengan perniagaan sekitar,” katanya sambil menambah MPKj mengambil kira kebajikan pemilik perniagaan tempatan.

Sebelum ini, pemilik perniagaan berhampiran tapak komersial itu telah membuat protes sejak Februari 2016.

Mohd Sayuthi turut memberi contoh bahawa gerai menjual buah bermusim seperti buah durian atau mandarin tidak dibenarkan menjual jenis buah-buahan lain yang akan bersaing dengan pemilik kedai berdekatan yang menjual buah-buahan sama.

“Disebabkan itu kami menempatkan dua jenis perniagaan iaitu di laman niaga 1 (makanan) dan laman niaga 2 (buah-buahan) di mana terdapat lebih ramai peniaga di situ.

“Tanah lapang yang ada berhampiran laman niaga itu masih kekal dan kita tidak usik,” katanya.

=EZY=


Pengarang :