PBTSELANGOR

MPKj catat 96 kumulatif kes denggi

OLEH ERMIZI MUHAMAD

KAJANG, 28 FEB : Sebanyak 96 kumulatif kes denggi dilaporkan di kawasan pentadbiran Majlis Perbandaran Kajang (MPKj) sehingga 24 Februari lalu.

Yang Dipertuanya, Mohd Sayuti Bakar berkata, ia membabitkan 35 lokaliti hotspot di daerah Hulu Langat.

“Jumlah itu menyaksikan DUN Bangi dan Semenyih mencatatkan satu kawasan hotspot, sementara DUN Kajang, Balakong dan Dusun Tua sifar.

“Justeru, orang awam dinasihatkan lebih peka terhadap aspek pembersihan dan habitat denggi, terutama di dalam rumah.

“Setiap kali kes denggi dilaporkan, kita mendapati faktor yang mendorong kepada penularan habitat itu berpunca daripada kawasan dalam dan lorong belakang rumah,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media Mesyuarat MPKj, di Bilik Mesyuarat Cempaka Putih 1, Menara MPKj, pagi ini.

Sebelum ini media melaporkan, Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) tidak mempunyai kuasa menjalankan pemeriksaan secara menyeluruh di dalam rumah penduduk, bagi mengenal pasti habitat Aedes.

Namun, di peringkat Kerajan Negeri, perbincangan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dibuat bagi membolehkan PBT diberi kuasa memasuki kediaman persendirian untuk mengenal pasti habitat nyamuk berkenaan.

Malah, Dato’ Menteri Besar, Dato’ Seri Mohamed Azmin Ali sebelum ini turut memaklumkan, keperluan itu bagi memudahkan tindakan diambil terhadap pemilik kediaman yang gagal menguruskan takungan air dengan betul.

 


Pengarang :