PBTSELANGOR

MPS keluar 29,206 waran tahanan gagal lunas cukai

OLEH NORHAYATI UMOR

SHAH ALAM, 28 FEB: Sejumlah 29,206 waran tahanan dikeluarkan Majlis Perbandaran Selayang (MPS) kepada pemilik yang mempunyai tunggakan cukai taksiran melebihi RM200.

Yang Dipertuanya, Suliman Abd Rahman berkata, waran tahanan terbabit dikeluarkan secara berperingkat sejak 1 Oktober lalu.

Katanya, tindakan penguat kuasaan dilakukan selepas tempoh waran tamat tempoh.

“MPS akan mengenakan tindakan rampasan harta benda bagi pemilik yang gagal menjelaskan bayaran cukai taksiran selepas tempoh waran tamat,” katanya.

Pada masa sama, katanya, orang ramai boleh ke kaunter bayaran di ibu pejabat MPS.

Manakala, cawangan Rawang dibuka dari jam 8 pagi hingga 12.30 tengah hari, pada Sabtu, Ahad dan cuti umum sepanjang Februari ini.

Beliau berkata, tempoh bayaran cukai taksiran bagi penggal 1/2018 berakhir hari ini dan caj lewat RM20 akan dikenakan, bermula 1 Mac.

“Sehingga 31 Januari lalu, MPS berjaya mengutip cukai taksiran semasa 2018 sebanyak RM14.51 juta daripada RM50.98 juta,” katanya.


Pengarang :