PBTSELANGOR

MPSepang gariskan 27 aktiviti perangi rasuah

OLEH SABIRAH AZIZ

SEPANG, 14 FEB: Majlis Perbandaran Sepang (MPSepang) bakal menggariskan 27 jenis aktiviti yang menjurus kepada perlakuan rasuah dalam kalangan pekerja di Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) itu.

Yang Dipertuanya, Dato’ Puasa Md Taib berkata, antara 27 aktiviti itu adalah seperti penguatkuasaan, pelesenan dan perolehan.

“Pihak kami telah menjalankan program bersama Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor, dua tahun lalu, supaya mengadakan satu Customer Relationship Management (CRM) bagi melihat segala prosedur atau kemungkinan aktiviti berlaku rasuah di MPSepang.

“Melalui program itu, kita meneliti 27 aktiviti tentang bagaimana mahu mengelakkan dan mengurangkan aktiviti rasuah berlaku. Jika ia dapat disiapkan dalam masa terdekat, satu buku garis panduan akan disediakan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri program Gerakan Revolusi Anti Rasuah (GERAH) dan pelancaran Kempen Gerakan Memerangi Pemberi Rasuah (GEMPUR) di MPSepang.

Katanya, perkara itu akan dijadikan amalan oleh semua kakitangan MPSepang dan ia adalah satu program yang bagus bagi memberi peringatan kepada setiap pekerja supaya tidak melakukan rasuah.

“Apabila kita sudah selesai mendapatkan maklumat, kami akan menyediakan garis panduan berkenaan,” katanya.

Pada masa sama, Puasa berkata, pelaksanaan Ikrar Bebas Rasuah (IBR) dalam kalangan pekerja di MPSepang baru-baru ini memberi kesan positif kepada penjawat awam di PBT berkenaan bagi memerangi rasuah.

“Kami mempunyai lebih kurang 620 pekerja di bawah MPSepang dan setakat ini kira-kira 135 pekerja telah menyerahkan borang Gerah kepada SPRM tempoh hari.

“Pihak Majlis juga sentiasa memberi peringatan kepada sesiapa yang masih berminat, menyerahkan borang supaya ia dapat dikumpulkan dan diserahkan kepada SPRM Selangor,” katanya.

=EZY=


Pengarang :