Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ sedia trek basikal inisiatif ke arah Perbandaran Hijau 2030

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SUBANG JAYA, 11 FEB: Trek berbasikal sejauh 15.46 kilometer (km) dengan peruntukan RM400,000 di Putra Heights siap sepenuhnya bulan lalu.

Yang Dipertua Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ), Noraini Roslan berkata, ia merupakan projek perintis MPSJ menyediakan trek basikal yang komprehensif iaitu reka bentuk ‘Loop’ lengkap di atas jalan (carriageway) dengan lorong berasingan dalam satu pusingan.

“Pelaksanaan projek ini diputuskan di Mesyuarat Stanco Pengangkutan Selangor pada Disember tahun lalu bagi perancangan pelaksanaan projek laluan basikal sepanjang 1,000 km di seluruh Selangor.

“Ia juga inisiatif MPSJ ke arah perbandaran hijau menjelang 2030 dengan meningkatkan pengurangan karbon dioksida dan mengurangkan penggunaan kenderaan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika Majlis Projek Trek Basikal MPSJ Putra Heights di Taman Rekreasi Putra Bistari 2, Persiaran Putra Perdana, Putra Heights, di sini pagi tadi.

Noraini berkata, pemilihan Putra Heights kerana kawasan pembangunan di situ mempunyai aliran trafik sederhana serta keadaan jalan lebar dan selamat.

“Antara kawasan terlibat adalah Persiaran Harmoni, Jalan Harmoni, Jalan Putra Harmoni, Jalan Putra Setia, Persiaran Putra Setia, Persiaran Putra Indah, Persiaran Putra Perdana, Jalan Petaling dan Persiaran Putra Bahagia,” katanya.

Difahamkan trek itu lengkap dengan ciri-ciri keselamatan antaranya penyediaan trek basikal menggunakan cat ‘hot applied thermoplastic’, logo basikal di atas jalan, anak panah ‘single arrow’, papan tanda logo basikal dan papan tanda beri laluan.

Selain itu, kos projek turut dibiayai bersama Kerajaan Negeri melalui peruntukan disalur dibawah Jawatankuasa tetap Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong sebanyak RM100,000.00.

Hadir sama Exco Pelaburan, Perindustrian & Perdagangan Kecil & Sederhana (IKS) dan Pengangkutan, Dato’ Teng Chang Kim dan Setiausaha Politik Dato’ Menteri Besar, Shuhaimi Shafiei.

=EZY=


Pengarang :