Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ)
PBTSELANGOR

MPSJ sertai Pensijilan SIRIM ‘Eco Label’ Perkhidmatan Makanan

OLEH SYAZWANI SUFIAN

SHAH ALAM, 6 FEB: Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ) terus mengorak langkah setapak lagi ke arah bandar hijau dengan menyertai Pensijilan SIRIM ‘Eco Label’ Perkhidmatan Makanan dengan melibatkan auditan terhadap premis makanan.

Timbalan Pengarah Korporat, Azfarizal Abdul Rashid berkata, premis makanan yang terlibat adalah Medan Selera MPSJ USJ 7 supaya mereka akan diaudit meliputi beberapa aspek.

“Antaranya mereka dinilai dari segi kebersihan gerai, kecekapan penggunaan tenaga, kawalan pencemaran bahan kimia serta peningkatan tahap kesedaran alam sekitar serta pembungkusan ‘Green Blue’.

“Sebanyak 1,000 unit pembungkusan makanan ‘Green Blue’ diedar kepada 19 peniaga di Medan Selesa MPSJ USJ 7 baru-baru ini dalam Majlis Penyerahan ‘Green Blue Packaging’ Sempena Program Audit Pensijilan SIRIM ‘Eco Label’ Perkhidmatan Makanan.

“Ia sebagai alternatif pembungkusan makanan lebih mesra alam dan tidak menjejaskan kesihatan pelanggan,” katanya dalam kenyataan.

Selain itu, katanya pembungkusan ‘Green Blue’ merupakan salah satu dari tujuh kriteria auditan bagi Pensijilan SIRIM ‘Eco Label’ Perkhidmatan Makanan.

“MPSJ mengharapkan pelaksanaan pembungkusan ‘Green Blue’ dapat dilakukan secara mampan oleh peniaga dan mereka tidak lagi menggunakan pembungkusan konvensional (penggunaan bekas makanan polisterin dan bukan organik lain) yang boleh mencemarkan alam sekitar serta menjejaskan kesihatan.

“Secara tidak , untuk jangka masa panjang akan dapat mengurangkan kos pelupusan sampah di masa hadapan,” katanya.

Difahamkan, inisiatif auditian itu merupakan lanjutan daripada Projek Biogas yang dimulakan sejak September tahun lalu.

Ia merupakan projek pengurusan sisa organik iaitu sisa organik yang dihasilkan akan diproses menggunakan konsep ‘waste to wealth’, iaitu menjadikan sisa makanan kepada biogas atau tenaga elektrik.

=EZY=


Pengarang :