SELANGOR

MWM 2018 kembali lebih meriah

OLEH HAFIZAN TAIB

SHAH ALAM, 17 FEB: Maraton Wanita Malaysia (Malaysia Women Marathon – MWM) kembali dengan acara lebih meriah dan hadiah lumayan bernilai RM45,000 untuk direbut peserta, tahun ini.

Selepas mendapat sambutan hebat lebih 6,000 peserta tahun lalu, acara larian diadakan di Dataran Kemerdekaan Shah Alam, di sini, 4 Mac ini, tentu menjanjikan penyertaan besar peserta juga pelancong bagi menambah kemeriahannya.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Pengguna, Elizabeth Wong, berkata acara semakin mendapat tempat itu menyajikan cabaran berbeza dengan pelbagai program menarik untuk disertai pelbagai usia masyarakat yang menjadikannya antara acara terbesar di Malaysia.

“Kerajaan Negeri menyokong acara seperti ini dan MWM adalah satu kejayaan besar yang berjaya mengumpulkan peserta dari dalam dan luar negara.

“Sejak awal penganjurannya hingga kini, ia menarik minat wanita dari pelbagai lapisan usia untuk turut serta dalam program diadakan,” katanya.

MWM bermula pada 2013, diserikan dengan penyertaan istimewa Duli Yang Maha Mulia Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin dan Isteri Dato’ Menteri Besar, Datin Seri Shamshida Taharin bersama semua peserta, tahun lalu.

MWM mendapat kerjasama Tourism Selangor saban tahun itu, tersenarai sebagai salah satu acara dalam kalendar rasmi Selangor bagi merancakkan aktiviti pelancongan di negeri itu.

“MWM memainkan peranan penting untuk menarik pelancong domestik dan luar untuk berkunjung ke Selangor.

“Tourism Selangor sentiasa menyokong MWM dan memberi komitmen penuh bagi memastikan acara ini dapat dijalankan dengan jaya, ” kata Pengurus Besar Tourism Selangor, Noorul Ashikin Mohd Din.

MWM kali ini mempertandingkan empat kategori iaitu maraton penuh (42km), separuh maraton (21km), 10km dan 5km termasuk kategori individu dan dua pilihan pakej keluarga.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat lanjut dengan melayari lama web: www.mwm.my atau akaun Facebook MWM, @MalaysiaWomenMarathon


Pengarang :